JKN Kedah nafi biarkan pesakit Covid-19 mati di lantai hospital

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo menafikan dakwaan bahawa petugas di wad Covid-19 Hospital Lama Sungai Petani, lambat memberi tindak balas dan rawatan kepada seorang pesakit sehingga dia meninggal dunia di lantai wad berkenaan.

Beliau ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai insiden berkenaan dan telah mengadakan perbincangan dengan petugas-petugas terlibat untuk melengkapkan siasatan.

"Kami telah mengadakan perbincangan dengan pegawai dan jururawat terlibat dan kita sedang sediakan laporan (lengkap)...ya, kejadian berlaku di Hospital Lama Sungai Petani di wad Covid-19 dan memang betul pesakit itu meninggal dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular video warga emas merangkak sebelum rebah

"Tapi (maklumat awal) yang mengatakan tindak balas petugas lambat itu tidak benar, kami akan keluarkan kenyataan lengkap untuk pihak media nanti," katanya.

Pada Isnin, satu klip video berdurasi 38 saat tular menerusi aplikasi WhatsApp yang menunjukkan seorang pesakit lelaki kelihatan lemah dan berada dalam keadaan melutut di lantai hospital dan cuba berpaut pada katil untuk bangun.

Video itu dipotong dan kemudian sambungannya menunjukkan lelaki berkenaan sudah terbaring kaku dengan beg urin masih berada di sebelahnya, manakala seorang pesakit dilihat cuba menghampiri untuk memeriksa mangsa.

Menurut individu yang menularkan video itu, pesakit Covid-19 itu dibiarkan mati tanpa sebarang bantuan daripada petugas di wad berkenaan sehingga dia disahkan sudah meninggal dunia 40 minit kemudian.

Artikel Berkaitan:

Menurut dakwaan individu itu lagi, hampir setengah jam pihak hospital sama ada doktor atau jururawat bertugas tidak mempedulikan pesakit berkenaan dan tidak mengambil tindakan serta-merta.

"Apabila pesakit lain melaporkan kejadian ini kepada jururawat terdekat, jururawat dengan perasaan sambil lewa dan leka memberitahu pelapor tersebut untuk memeriksa sendiri pesakit yang jatuh itu sama ada masih bernyawa ataupun tidak," dakwa individu tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memberitahu pihaknya masih belum menerima sebarang laporan polis mengenai kejadian tersebut. - Bernama