Pekerja kilang maut, motosikal rempuh belakang lori

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pekerja kilang maut apabila motosikal yang ditunggang merempuh belakang sebuah lori dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah berhampiran susur ke arah Port Dickson di sini petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, lelaki berusia 20 tahun itu cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam insiden pada kira-kira 4.25 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa lori jenis Hicom yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 48 tahun dalam perjalanan dari arah Seremban menuju Port Dickson.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori itu bergerak perlahan menuju ke susur Port Dickson susulan kesesakan jalan raya sebelum mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 dari arah belakang melanggar sisi kiri lori tersebut.

"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan, siasatan lanjut masih dijalankan,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Said berkata, mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Artikel Berkaitan: