X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Duit simpanan lesap angkara sindiket TAC

Gambar kecil: Noorzainy
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pekerja swasta berputih mata selepas kerugian RM13,579 akibat diperdaya sindiket penipuan nombor pengesahan transaksi (TAC) melalui panggilan telefon.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 40 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai khidmat pelanggan syarikat Bigpay.

Menurutnya, lelaki itu dimaklumkan kad bank miliknya mempunyai pautan dengan sistem Bigpay dan perlu ditukar kepada kad yang baharu bagi membolehkan dia menggunakan perkhidmatan kredit tanpa had.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa berkongsi maklumat bank serta memberikan nombor TAC kepada suspek.

"Tidak lama kemudian pihak bank memaklumkan kepada mangsa terdapat transaksi pindahan wang sebanyak RM13,579 ke akaun pihak lain sedangkan dia tidak membuat sebarang pindahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Dalam kes berasingan Noorzainy berkata, seorang pesara turut mengalami kerugian RM59,000 akibat diperdaya sindiket yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri dan polis.

Noorzainy berkata, lelaki berkenaan dimaklumkan mempunyai tunggakan bayaran cukai syarikat sebelum dimaklumkan dia terlibat dengan pengubahan wang haram.

"Mangsa telah diminta menyerahkan nombor TAC kononnya untuk tujuan siasatan sebelum dihubungi bank yang memaklumkan wang simpanannya telah dipindahkan ke dua akaun lain.

"Kesal dengan kejadian itu, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis di sini pada Ahad," katanya.

Noorzainy berkata, polis kini sedang mengesan pemilik akaun yang terlibat dengan sindiket terbabit dan menyiasat kedua-dua kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!