Mahkamah cadang kes saman Mujahid terhadap Harakah selesai secara mediasi

Mujahid
Mujahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini menyarankan supaya supaya kes saman fitnah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof terhadap Harakah membabitkan isu usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat, yang didakwa memakai telekung dan berpakaian seperti wanita sewaktu menunaikan umrah, diselesaikan secara baik menerusi proses mediasi.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Noorazmir Zakaria, yang mewakili Mujahid ketika dihubungi Bernama, selepas prosiding secara dalam talian di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan pada Isnin.

“Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan kes saman itu, namun sebelum prosiding bermula, Hakim Zulqarnain memberi cadangan untuk pihak-pihak berbincang bagi menyelesaikan kes ini secara baik.

“Peguam kedua-dua pihak akan berbincang dengan anak guam masing-masing mengenai perkara ini,” katanya yang turut memaklumkan bahawa 7 Sept ditetapkan untuk pengurusan kes bagi mengemaskini status penyelesaian kes.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, yang memfailkan saman pada 12 Ogos tahun lepas, menamakan wartawan Harakah Aziz Muda, Ketua Pengarang Harakah Wan Nordin Wan Yaacob, penerbit laman sesawang harakahdaily serta akhbar Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd dan pencetak akhbar itu, Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutan, Mujahid mendakwa pihak defendan telah memfitnahnya menerusi artikel ‘Sajat: Mujahid dan K'jaan PH patut dipersalahkan’ pada 7 Februari tahun lepas dan ‘Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH’ pada 10 Februari tahun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: