Malaysia #QuranHour catat 10,074 penyertaan dalam dan luar negara

Marhaini Yusoff
Marhaini Yusoff
A
A
A

SHAH ALAM - Program Malaysia#QuranHour yang dianjurkan bersempena Hari Kebangsaan 2021 pada Isnin berjaya mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 10,074 lokasi berdaftar melibatkan individu dan organisasi dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff menyifatkan sambutan luar biasa itu susulan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad yang mengajak rakyat Malaysia menjayakan program tersebut.

Beliau berkata, Malaysia#QuranHour adalah usaha mencari solusi daripada ALLAH SWT untuk menenang dan mendamaikan jiwa rakyat di negara ini.

“Sebelum ini, biasanya kita hanya menerima sekitar 2,000 hingga 3,000 penyertaan sahaja. Tapi hari ini (Isnin) lebih 10,000 pendaftaran lokasi di Malaysia manakala sebanyak 18 lokasi di luar negara.

“Jadi saya lihat peranan pemimpin yang menyeru seluruh rakyat untuk turut sama membentuk Keluarga Malaysia dalam menghadapi cabaran turut memberi impak besar dalam program ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Antara lokasi berdaftar dalam negara ialah Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Malaysia (MAPAM), Islamic Tourism Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia.

Bagi lokasi di luar negara pula melibatkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Canberra, Australia; Kedutaan Besar Malaysia di Prague, Republik Czech; Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Malaysia di Tokyo, Jepun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program tersebut turut mencatatkan 270.6 juta capaian di semua platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, blog dan laman web dengan tanda pagar #QuranHour bermula 31 Julai hingga hari ini.

Artikel Berkaitan:

“Berikutan pandemik Covid-19, kami tidak menetapkan sebarang sasaran untuk capaian di media sosial, namun bersyukur kita berjaya mengumpul jumlah tersebut,

"Penggunaan aplikasi Zoom Meeting kali ini sangat membantu dalam mencapai hasrat program secara menyeluruh. Jadi hasrat kami untuk membawa alunan al-Quran masuk ke setiap rumah benar-benar terlaksana di mana dianggarkan 95 peratus peserta telah bersama-sama untuk berinteraksi dengan al-Quran secara alam maya," ujarnya.

Dalam pada itu, Marhaini berkata, pihaknya akan menganjurkan program World Quran Convention pada Disember depan dengan memberi penekanan kepada kebaikan Surah Al-Mulk.

Katanya, program itu akan mengajak umat Islam untuk menggali dengan lebih mendalam tentang rahsia dan mutiara daripada surah tersebut dengan panduan melalui tadabbur al-Quran.

“Kami juga sedang mengkaji beberapa surah bagi pelaksanaan Malaysia#QuranHour tahun hadapan di mana kebiasaannya pemilihan surah adalah bersesuaian dengan suasana semasa,” jelasnya.