Bekas pengarah SRC failkan tuntutan terhadap Shahrol Azral, Ismee

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin memfailkan permohonan bagi menuntut dua bekas pengarah syarikat itu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail menanggung kesemua kerugian yang mungkin dialaminya dalam tuntutan saman oleh syarikat berkenaan.

Pada 7 Mei lepas, SRC di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan enam lagi atas dakwaan pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC.

Selain Najib, turut dinamakan sebagai defendan ialah Mohammed Azhar, Datuk Suboh Md Yassin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Ismee dan Shahrol Azral.

Bagaimanapun, pada Julai lepas, SRC telah mengeluarkan nama Shahrol Azral dan Ismee daripada saman itu dan mengekalkan yang lain sebagai defendan.

Mohammed Azhar yang memfailkan notis pihak ketiga pada 27 Ogos lepas menerusi Tetuan Chooi & Company + Cheang & Ariff antara lain menuntut supaya Shahrol Azral dan Ismee secara bersama dan berasingan menanggung penuh (fully indemnity) terhadap kesemua kerugian yang akan ditanggung oleh Mohammed Azhar selaku defendan keempat sekiranya beliau didapati bertanggungjawab ke atas tuntutan saman oleh SRC.

Mohammed Azhar turut menuntut kedua-dua individu itu menanggung semua perbelanjaan termasuk kos guaman serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau memfailkan permohonan itu antaranya atas alasan transaksi berhubung pinjaman KWAP berjumlah RM4 bilion berlaku semasa Shahrol Azral dan Ismee adalah Pengarah SRC.

Menurut Mohammed Azhar, Shahrol Azral adalah Pengarah SRC bermula 1 Ogos 2011 sebelum beliau meletak jawatan pada 15 Mei 2012 manakala Ismee pula pengarah syarikat itu dari 1 Ogos 2011 sebelum beliau meletak jawatan pada 15 Ogos 2014.

Artikel Berkaitan:

SRC, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, dalam writ samannya mendakwa semua defendan berkomplot dan melakukan pecah amanah selain mendakwa Najib menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan. Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), menuntut perisytiharan supaya semua defendan bertanggungjawab membayar kerugian dana pelaburan akibat penggunaan jumlah pinjaman itu selain ganti rugi am, teladan, tambahan dan faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SRC berkata pada Januari 2019, syarikat itu diletakkan di bawah jagaan pegawai Kementerian Kewangan (pengurusan baharu) dan selepas menyemak rekod SRC, didapati pengarah terdahulu tidak mengambil sebarang langkah munasabah bagi memastikan pinjaman KWAP berjumlah RM4 bilion kepada SRC pada 2011 dan 2012 digunakan dengan betul bagi membiayai aktiviti pelaburan am syarikat itu serta keperluan modal kerja am.

SRC mendakwa pengarah terdahulu tidak memantau pelupusan RM3.6 bilion kepada SRC BVI (dana pelaburan dicadangkan) kononnya bagi SRC melaksanakan aktiviti pelaburan dalam sektor sumber tenaga di luar negara dan mereka juga gagal memantau keterdedahan Kerajaan Malaysia berhubung jaminan yang diberikan kepada SRC selain gagal menyiasat tentang penyelewengan dana SRC. - Bernama