'TFC tak boleh kalah lagi'

Perancang TFC, Lee Tuck diasak pemain KL City FC, Akram Mahinan dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto FB MFL
Perancang TFC, Lee Tuck diasak pemain KL City FC, Akram Mahinan dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto FB MFL
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menuntut persembahan lebih baik dipamerkan oleh skuad penyu dalam dua baki perlawanan terakhir untuk memastikan kedudukan mereka terjamin dalam kelompok teratas Liga Super.

Menurutnya, dua kekalahan terakhir kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-2 pada minggu lalu dan Kuala Lumpur City FC 0-1 pada Ahad menjadikan impian untuk menamatkan kedudukan sebagai naib juara Liga Super semakin goyah.

"Kami datang ke sini dengan harapan memburu tiga mata dan kita gagal, sememangnya dari kedudukan saya sedar pasukan di bawah kita seperti Penang, Selangor sudah menghampiri kita. Untuk kekal di atas kami tidak boleh kalah dan kena menang dua baki perlawanan.

"Saya faham harapan penyokong yang hendak kami menang, begitu juga dengan pemain serta saya dan barisan pengurusan, cuma keputusan nyata tidak sebelahi kami.

"Kalau kita tengok cara kita kalah, persembahan yang ditunjukkan pemain tidak sepatutnya kita kalah dalam dua perlawanan lalu cuma lawan bijak ambil kesempatan apabila dapat menyudahkan peluang manakala kita tidak menjaringkan gol semasa ada peluang, itulah bola sepak dan kita dihukum atas silap kita sendiri,” katanya.

Dalam perlawanan itu, jaringan tunggal ketua pasukan KL City, Paulo Josue pada minit ke-29 memastikan tuan rumah berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah di laman sendiri pada musim ini.

Dalam pada itu, pengendali KL City, Bojan Hodak gembira dengan kemenangan tersebut tetapi menyifatkan tiga mata yang diraih itu bukan mudah terutama menentang pasukan kuat seperti TFC.

"Kami bermain baik pada separuh masa pertama dan mencipta banyak peluang. Tetapi penyudah yang agak tumpul dan pada separuh masa kedua persembahan sedikit longlai namun kami dapat mempertahankan satu gol tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kami menang 10 perlawanan tanpa kalah dan ia motivasi terbaik untuk pemain menghabiskan baki dua perlawanan dan bersedia untuk menghadapi Piala Malaysia," katanya.