Bunga Raya semarakkan semangat kemerdekaan

Norhizam (kiri) dan Muhammad Muhaimin ketika penyerahan bunga raya kepada Sulaiman (tengah) di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, pada Isnin.
Norhizam (kiri) dan Muhammad Muhaimin ketika penyerahan bunga raya kepada Sulaiman (tengah) di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd (PPMSB) mengambil inisiatif menyemarakkan semangat kemerdekaan menerusi penyerahan pokok bunga raya pelbagai spesies kepada 240 jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhammad Muhaimin Low Abdullah berkata, kelainan yang dilakukan itu sebagai usaha murni memastikan bunga kebangsaan yang menjadi simbol negara itu tidak pupus dan dikenali generasi akan datang.

Menurutnya, biarpun inisiatif itu dilihat kecil namun objektifnya untuk memupuk semangat cintakan negara dan perpaduan kaum kerana ada di antara wakil jabatan yang teruja menerima pokok bunga raya berkenaan.

"Walaupun negara berdepan cabaran pandemik Covid-19, kita tetap meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-64 namun dengan cara berbeza dan norma baharu.

"Sambutan ini turut mengingatkan semua warga penjawat awam dan kakitangan jabatan ini untuk terus bersemangat menyambut kemerdekaan. Kita mula menyerahkan pokok pada Khamis lalu hingga Isnin," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas penyerahan pokok bunga raya empat warna oleh Exco Pertanian, Penternakan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Norhizam Hassan Baktee kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Seri Negeri, di Ayer Keroh pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya bersedia menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk penanaman bunga ikonik negara sebagai bunga hiasan yang dapat menceriakan lagi landskap negeri ini.

"Selain bunga raya kita juga memperuntukkan kira-kira 150 Jalur Gemilang pelbagai saiz untuk hiasan di pejabat, kenderaan kerajaan dan turut diberikan kepada kakitangan bagi menambahkan semangat patriotisme," katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara spesies pokok bunga raya yang disemai PPMSB termasuk hibiscus hybrid, merah terang (hibiscus coccineus), cina meningkat (hibiscus rosa-sinensis), bunga sepatu dan kembang sepatu (hibiscus rosasinensis) dan bunga raya putih pusat merah atau bunga pepelut (hibiscus rosa-sinensis hybrid).