Perkuburan Johan Setia kini terima jenazah Covid-19

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengebumian jenazah Covid-19 di Tanah Perkuburan Selat Klang akan dipindahkan ke Tapak Perkuburan Johan Setia selepas ini berikutan ruang yang semakin penuh.

Selain itu, langkah berkenaan juga adalah berikutan Tanah Perkuburan Selat Klang perlu dikhususkan buat kematian biasa ahli kariah di kawasan terlibat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, tapak dikhususkan bagi pengebumian jenazah Covid-19 di Tanah Perkuburan Selat Klang hanyalah seluas 0.8 hektar manakala tapak yang telah diratakan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) di lokasi berkenaan berkeluasan 11.3 hektar sebelum ini pula adalah untuk jenazah biasa.

"Berikutan tanah berkenaan hampir penuh maka pengebumian pesakit Covid-19 dipindahkan ke Tapak Perkuburan Johan Setia yang mempunyai kawasan seluas 4 hektar dan dikhususkan untuk pengebumian jenazah," katanya sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, pada Isnin.

Mohd Zawawi berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan Azmizam Zaman Huri (PKR-Pelabuhan Klang) berhubung status Tanah Perkuburan Selat Klang yang semakin penuh.

Dalam pada itu Mohd Zawawi berkata, sehingga 23 Ogos lalu, sebanyak 42 tanah perkuburan dikhususkan bagi pengebumian jenazah Covid-19 di mana tujuh membabitkan tapak di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala selebihnya adalah tanah perkuburan kariah.

Artikel Berkaitan: