DUN Perak lulus 5 usul sebulat suara

Sidang DUN Perak yang berlangsung selama empat hari lulus lima usul sebulat suara pada Isnin. FOTO URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Sidang DUN Perak yang berlangsung selama empat hari lulus lima usul sebulat suara pada Isnin. FOTO URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
A
A
A

IPOH - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada hari terakhir meluluskan lima usul secara sebulat suara tanpa bantahan pada Isnin.

Usul pertama dikemukakan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad iaitu Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan yang dibahas hampir kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan digulung Exco Kerajaan Negeri serta Menteri Besar selama tiga hari bermula 26 Ogos lalu.

Dewan Negeri kemudian mengemukakan Usul Melantik Keanggotaan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang yang dibawa dan dibentangkan oleh Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik).

Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN-Changkat Jering) pula mengemukakan Usul Melantik Keanggotaan Ahli-Ahli Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap yang dipersetujui semua ADUN.

Usul Melantik Keanggotaan Ahli-Ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pula dikemukakan oleh Khairul Shahril Mohamed (BN-Bota) yang juga Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia.

Usul terakhir dibawa Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) iaitu Melantik Keanggotaan Ahli-Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Bangunan Baharu Dewan Negeri Perak.

Pada hari pertama, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan mesyuarat tersebut serta menyampaikan Titah Diraja sempena persidangan tersebut.

Persidangan DUN Perak kali ini dilaksanakan secara konsep Gelembung Persidangan Dewan Negeri yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan mengaplikasikan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang tempoh tersebut, hanya seramai 56 daripada 59 ADUN dibenarkan terlibat dalam sesi Sidang Dewan Negeri manakala tiga lagi tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan terdapat dalam kalangan mereka dikesan positif Covid-19, kontak rapat pesakit serta belum menerima vaksin.