Rakyat diingat tidak tolak vaksin: Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin
Sultan Sharafuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat tidak bersifat mementingkan diri dengan menolak pemberian vaksin Covid-19.

Selangor Royal Office dalam satu kenyataan memaklumkan, Sultan Sharafuddin bertitah, sikap sedemikian hanya boleh menjejaskan sasaran negara mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.

"Baginda ingin mengingatkan kepada rakyat jelata agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan segera mengambil suntikan vaksin Covid-19 masing-masing," katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office pada Isnin.

Menerusi kenyataan bersempena ucapan sambutan Hari Kebangsaan, baginda turut mengingatkan rakyat memperingati nikmat kemerdekaan dikecapi negara.

"Baginda bertitah agar setiap rakyat menghayati erti kemerdekaan sebenar di samping menghargai perjuangan tokoh-tokoh terdahulu ke arah mencapai kemerdekaan negara pada tahun 1957," menurut kenyataan tersebut lagi.

Kata kenyataan itu, Sultan Sharafuddin mahu penghargaan sama ditujukan kepada petugas barisan hadapan yang sedang berjuang merawat dan menguruskan wabak Covid-19 ketika ini khususnya kakitangan hospital serta pihak terlibat secara langsung seperti pengurusan jenazah dan pengebumian.

"Baginda amat berterima kasih dan terharu dengan pengorbanan petugas ini dan mendoakan agar urusan mereka dipermudahkan serta sentiasa diberi kekuatan untuk berkhidmat demi kesejahteraan rakyat jelata," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: