KPM rancang laksana program Perkasaku

Kementerian Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang melaksanakan sebuah program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum atau dikenali sebagai Perkasaku bagi merapatkan jurang pembelajaran yang berlaku.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid berkata, program tersebut memberi fokus yang menyeluruh dalam usaha KPM memulihkan tahap penguasaan murid terhadap pembelajaran mereka.

“Ini bermakna, perancangan yang strategik dan berfokus perlu dilaksanakan,” katanya ketika melancarkan Program Perkasaku pada Isnin.

Nor Zamani berkata, pihak KPM sentiasa mengambil berat dan fokus terhadap pembelajaran murid yang mungkin terjejas akibat penutupan sekolah dalam tempoh yang lama bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“KPM telah mengambil inisiatif untuk meneliti laporan dan penulisan dari dalam dan luar negara berkaitan pelaksanaan pembelajaran sepanjang tempoh tersebut.

“Daripada analisis yang diperoleh, dapatan menunjukkan berlaku isu-isu seperti ‘learning loss’ dan ‘learning gap’ dalam kalangan murid,” katanya.

Menurutnya, daripada analisis dan tinjauan yang dibuat, KPM mengenalpasti bahawa kekurangan masa pembelajaran bersemuka bersama-sama guru menyebabkan penguasaan pembelajaran sebagai contoh, kemahiran literasi dan numerasi dalam kalangan murid tahap satu terkesan dan perlu ditangani dengan sistematik.

“KPM menyarankan pertambahan masa perlu dilaksanakan dalam bentuk jadual waktu yang dipanjangkan atau penyelarasan semula takwim persekolahan.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah untuk memberi peluang kepada murid memperoleh kandungan asas yang diperlukan dalam pembelajaran mereka.

“Ini juga merangkumi kaedah ‘bridging’ iaitu pengayaan dan pengukuhan yang akan dilanjutkan sehingga Februari 2022,” katanya.

Beliau berkata, terdapat empat perkara utama yang perlu semua guru memberi fokus dalam program Perkasaku ini.

Nor Zamani berkata, pertamanya ialah strategi pengukuhan dan pengayaan yang bertujuan merapatkan jurang pembelajaran yang timbul akibat pelbagai kekangan semasa melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Kedua katanya, program Pemugaran Literasi dan Numerasi yang merupakan strategi bagi membantu murid, guru dan ibu bapa atau penjaga untuk mengukuhkan kemahiran literasi dan numerasi sesuai dengan tahap keupayaan murid.

“Program ini khususnya kepada murid tahap satu (tahun satu, dua dan tiga) yang belum menguasai tahap minimum 3M semasa tempoh PdPR,” katanya.

Menurut Nor Zamani, perkara ketiga adalah memastikan pentaksiran bilik darjah (PBD) yang merupakan proses berterusan dan komponen penting bagi mendapatkan maklumat untuk mengenal pasti dan merekod perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid dalam PdP atau PdPR tidak diabaikan.

“Untuk itu, pemerkasaan PBD dilaksanakan dan diteruskan bagi memastikan tahap keupayaan dan penguasaan pembelajaran murid sentiasa ditaksir, direkod dan dipantau walaupun dalam tempoh PdPR.

“Keempat, satu sistem penyimpanan bahan pengajaran dan pembelajaran bagi mengurus, menyimpan dan menyediakan akses kepada bahan dalam bentuk digital telah disediakan.

“Bahan sumber khusus untuk sekolah rendah dan menengah telah dimuat naik di pelantar DELIMa," katanya.

Tambahnya, guru-guru, ibu bapa dan murid boleh mengakses bahan ini pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

“Bahan ini seharusnya dapat dimanfaatkan seoptimum mungkin oleh semua pihak bagi memberi impak positif terhadap pendidikan setiap murid.

“Pelbagai bahan sokongan boleh diakses bagi pembelajaran kendiri yang berupa lembaran kerja, kuiz, nota, gamifikasi serta panduan pengajaran guru yang sesuai bagi murid sekolah rendah dan menengah,” katanya.