Bursa Malaysia meningkat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia meneruskan momentum peningkatannya pada akhir dagangan Isnin, dipacu oleh belian ketara membabitkan kaunter saham utiliti, telekomunikasi dan media serta seiring dengan sentimen pasaran serantau yang memberangsangkan, kata peniaga.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 11.22 mata untuk mengakhiri dagangan pada paras 1,601.38 berbanding 1,590.16 pada akhir dagangan Jumaat lepas.

Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu 537 berbanding 503 manakala 460 kaunter tidak berubah, 746 tidak diniagakan dan 50 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan naik kepada 4.43 bilion unit bernilai RM3.67 bilion berbanding 4.08 bilion unit bernilai RM2.96 bilion pada Jumaat lepas.

Seorang peniaga berkata, pasaran-pasaran serantau Asia kebanyakannya menyaksikan dagangan lebih tinggi pada Isnin dan memaparkan reaksi terhadap petunjuk positif dipamerkan di Wall Street susulan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), Jerome Powell di acara simposium Jackson Hole pada hari sama.

Bagaimanapun, peniaga tersebut menyifatkan aliran peningkatan itu lebih terbatas berikutan sikap berhati-hati pelabur terhadap perkembangan Covid-19 di rantau ini dan beberapa negara yang terus menjejaskan aktiviti-aktiviti ekonomi.

Di peringkat tempatan, seorang peniaga lain berkata, Bursa Malaysia mendapat suntikan sokongan berterusan di tengah-tengah keadaan risiko politik yang menyusut serta pembukaan semula aktiviti-aktiviti perniagaan.

Menurutnya, para pelabur juga memberi reaksi positif terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mencapai sasaran kadar pemberian vaksin melebihi 50 peratus dalam kalangan penduduk dewasa di enam negeri -- Perak, Terengganu, Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah menjelang akhir September ini.

Artikel Berkaitan:

Pada masa, Perdana Menteri juga menyatakan kesediaan untuk meneliti bagi peralihan Lembah Klang ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

Dalam pada itu, saham-saham Petronas Gas dan Axiata Group muncul dua penyumbang utama indeks tempatan pada Isnin dengan sejumlah 3.61 mata apabila masing-masing meraih 54 sen dan 10 sen untuk ditutup pada RM16.80 dan RM4.14 di akhir urus niaga.

Saham wajaran tinggi lain menyaksikan Maybank naik 3.0 sen kepada RM8.40, Petronas Chemicals menokok 10 sen kepada RM8.30, Tenaga Nasional untung 8.0 sen kepada RM10.46, IHH Healthcare menambah 5.0 sen kepada RM6.40 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.18

Bagi saham aktif, KNM Group turun setengah sen kepada 25.5 sen, Kanger International merosot 1.0 sen kepada 4.5 sen manakala Bintai Kinden untung 10.5 sen kepada 48 sen dan Sapura Energy sebaliknya tidak berubah pada 12.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 67.34 mata kepada 11,627.87, Indeks FBMT 100 menambah 69.53 mata kepada 11,342.91 dan Indeks FBM Emas Shariah meraih 71.1 mata kepada 12,750.46.

FBM 70 pula meningkat 53.12 mata kepada 15,023.46 manakala FBM ACE meraih 30.03 mata kepada 7,244.90.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 22.43 mata kepada 6,751.25, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 70.37 mata kepada 15,557.27 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.78 mata kepada 198.34.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat sedikit kepada 2.95 bilion saham bernilai RM3.35 bilion daripada 2.88 bilion saham bernilai RM2.65 bilion pada dagangan Jumaat lepas.

Selain itu, jumlah waran bertambah kepada 323.07 juta unit bernilai RM45.98 juta berbanding 315.54 juta unit bernilai RM45.89 juta, sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan bertambah kepada 1.16 bilion saham bernilai RM263.50 juta daripada 880.77 juta saham bernilai RM263.95 juta, sebelum ini.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 503.21 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (1.08 bilion), pembinaan (99.59 juta), teknologi (210.10 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (120.65 juta), hartanah (144.01 juta), perladangan (48.22 juta), REIT (8.20 juta), dana/ditutup (98,600), tenaga (479.04 juta), penjagaan kesihatan (91.00 juta), telekomunikasi dan media (90.85 juta), pengangkutan dan logistik (41.40 juta) serta utiliti (31.40 juta). - Bernama