Hanya individu bertauliah dibenarkan bekerja di ruang terkurung

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak yang bekerja di ruang terkurung perlu mematuhi Kod Amalan Bekerja Selamat Di Ruang Terkurung (ICOP) 2010 yang menggariskan hanya individu bertauliah dibenarkan bekerja di ruang berkenaan, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Mengulas kejadian dua pekerja maut akibat terhidu gas beracun di dalam lubang laluan air ‘manhole’ di Cyberjaya pada 21 Ogos lepas, Lam Thye berkata, individu yang bekerja di ruang terkurung perlu menjalani latihan dan mempunyai sijil yang disahkan bagi membolehkan mereka bekerja di ruang yang berbahaya itu.

Beliau berkata, majikan perlu memastikan pekerja yang bekerja di ruang seperti tangki penyimpanan, sistem pembetungan atau paip longkang kumbahan bawah tanah mempunyai kelayakan kerana atmosfera di ruangan tersebut adalah bahaya.

“Pekerja yang bekerja di ruang terkurung perlu menjalani latihan dan tahu prosedur menyelamat jika berlaku sebarang insiden contohnya jika bekerja di tempat pembetungan.

“Pekerja tidak boleh turun ke dalam lubang pembetungan yang sempit seorang diri, perlu ada pengiring atau orang memantau keadaan mereka sepanjang tempoh mereka bekerja,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH), atmosfera dalam ruang terkurung adalah bahaya kerana gas toksik yang terkumpul adalah melebihi daripada had yang dibenarkan.

Selain itu, ruang terkurung juga mempunyai gas mudah terbakar dan kandungan oksigen kurang daripada 19.5 peratus atau melebihi 23.5 peratus.

Pada 21 Ogos lepas, dua lelaki warga India maut dipercayai akibat terhidu gas beracun ketika melakukan kerja-kerja memasang kabel di dalam lubang laluan air ‘manhole’ di Persiaran SP3, Cyberjaya.

Artikel Berkaitan:

Lam Thye berkata, pekerja-pekerja juga diingatkan untuk sentiasa menggunakan alat menguji kandungan gas dalam ruangan terkurung sebelum turun melakukan kerja di tempat tersebut.

“Pekerja perlu pastikan ruang bekerja bebas daripada gas toksik kerana ia boleh membahayakan nyawa. Oleh itu, sebelum masuk ke dalam ruang terkurung, pekerja perlu guna alat menguji gas untuk memastikan keadaan selamat,” katanya. - Bernama