Nelayan terjejas Covid-19 terima bantuan LKIM

Hawa Delaila (kanan) menyerahkan bantuan kotak makanan MAFI Prihatin kepada nelayan.
Hawa Delaila (kanan) menyerahkan bantuan kotak makanan MAFI Prihatin kepada nelayan.
A
A
A

SEPANG - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengagihkan pelbagai bantuan termasuk bekalan makanan kepada 3,150 nelayan di Selangor yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengarah LKIM Negeri Selangor, Siti Hawa Delaila Tukiran berkata, bantuan berkenaan diserahkan kepada ahli dan komuniti nelayan sejak pandemik itu melanda dua tahun lalu sehingga kini.

“Hari ini, sumbangan kotak makanan atau bantuan ‘MAFI Prihatin’ barangan keperluan harian pula diserahkan kepada 30 nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sepang,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan bantuan MAFI Prihatin dan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 dan 50 Tahun LKIM Peringkat Negeri Selangor di Jeti Nelayan Sungai Sepang Besar, Sungai Pelek di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Pengarah LKIM Negeri Selangor, Muhammad Dzulkarnain Othman dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sepang, Md Sani Jailan.

Dalam pada itu, Hawa Delaila berkata, bantuan kotak makanan berisi gula, tepung, minyak masak dan barangan dapur lain secara sekali beri itu turut diadakan serentak di seluruh negara.

"Program ini dilaksanakan serentak di seluruh negara membabitkan LKIM di seluruh negara dan program utama di Pekan Pahang dilancarkan Ketua Pengarah LKIM, Yusoff Othaman.

"Diharapkan sumbangan yang dilaksanakan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ekonomi dan membantu masyarakat nelayan yang memerlukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis yang sama, bendera Malaysia turut diserahkan kepada para nelayan bagi menyemarakkan semangat sempena Bulan Kemerdekaan Ke-64 dan 50 tahun LKIM Peringkat Negeri Selangor.