Aset rizab rasmi Malaysia AS$111.06 bilion pada akhir Julai

Bank Negara Malaysia - Foto 123RF
Bank Negara Malaysia - Foto 123RF
A
A
A

ASET rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$111.06 bilion (AS$1=RM4.17) sehingga akhir Julai 2021 berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antabangsa (IMF).

Dalam kenyataan pada Isnin, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, aset mata wang asing lain bagi tempoh sama berjumlah AS$183.5 juta.

Menurut bank pusat, butiran terperinci rizab antarabangsa itu yang berdasarkan format SDDS IMF, memaparkan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab dan aset mata wang asing lain serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

“Bagi 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing apabila matang berjumlah AS$4.60 bilion.

“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara,” menurutnya.

BNM dalam Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa Pada Akhir Julai 2021 yang dikeluarkan pada Isnin berkata, kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$7.46 bilion manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak AS$180 juta pada akhir Julai 2021 yang mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, bank pusat itu berkata, data berkenaan tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.37 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang

Artikel Berkaitan:

BNM berkata, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negara dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh setahun berjumlah AS$386.4 juta.

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya. - Bernama