Malaysia #QuranHour: Solusi daripada ALLAH untuk Keluarga Malaysia

Hussamuddin Yaacub
Hussamuddin Yaacub
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia #QuranHour tahun ketujuh kali ini membawakan Solusi Daripada ALLAH SWT melalui bacaan surah Al-Mulk dan tujuh surah Musabbihat sebagai formula menuju Malaysia Berbudi dan Penyayang menjelang Hari Kebangsaan 2021.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, Surah Al-Mulk yang membawa maksud kerajaan menjadi surah utama membawa misi Malaysia Berbudi dan Penyayang.

Menurut beliau, program tersebut menyasarkan umat Islam seluruh dunia dan lebih 20 juta daripada 32.7 juta umat Islam di Malaysia.

“Malaysia #QuranHour merupakan seruan untuk berinteraksi dengan al-Quran selama satu jam sebagai permulaan sehingga ke arah Muslim sejati yang tidak mengenal erti putus asa melalui panduan kitab suci.

“Cabaran yang datang merupakan peluang untuk kita terus menjadi lebih baik dan berjiwa mental, yakin bahawa ada rezeki dan peluang yang ALLAH SWT berikan untuk menguruskan kehidupan.

“Kualiti dan watak ini penting supaya kita bangkit membina negara tercinta. Semoga zikir dan solat dapat membina karakter mantap warga Malaysia yang merdeka,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tangkap layar peserta program Malaysia #QuranHour melalui aplikasi Zoom Meeting pada Isnin.
Tangkap layar peserta program Malaysia #QuranHour melalui aplikasi Zoom Meeting pada Isnin.

Hussamuddin turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas sokongan terhadap Malaysia #QuranHour dalam membina Keluarga Malaysia yang berbudi dan penyayang.

Artikel Berkaitan:

“Kita berharap rakyat negara ini akan dibentuk dengan nilai yang teguh dengan panduan al-Quran bagi membina Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Program yang bersiaran selama sejam itu menampilkan pentadabbur, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail dan tetamu jemputan, Pensyarah Kanan Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Farid Ravi Abdullah untuk memberi pengisian ilmu.

Farid Ravi
Farid Ravi

Bacaan Surah Al-Mulk dan Musabbihat dibimbing oleh qari daripada My #QuranTime, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman serta Ahmad Tirmizi Ali.

Sementara itu, Fazrul turut menjelaskan tiga resolusi menyambut kemerdekaan iaitu dengan meningkatkan zikir untuk lebih positif.

Fazrul
Fazrul

“Selain itu, jaga solat yang akan mengundang kasih sayang dan membina masyarakat berbudi serta sentiasa belajar, baca, faham dan amalkan isi kandungan al-Quran bagi melonjakkan komitmen akhlak mulia,” kata beliau.

Pada tahun ini, hampir semua media utama seperti TV Alhijrah, RTM, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, Utusan TV, Sinar Harian, Harakah, Nu Ideativ, IKIMfm, Zayan FM News Straits Times Press (NSTP) dan Denaihati.com terus menyokong pelaksanaan Malaysia #QuranHour.

Penaung bagi program itu adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama rakan sinergi, iaitu Islamic Tourim Centre (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia (MAPAM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Malaysia Tourism Council, Rumah Ngaji dan Sahabah Al-Quran.