Untung bersih FGV melonjak kepada RM338.82 juta

No Image Caption
A
A
A

KEUNTUNGAN bersih FGV Holdings Bhd melonjak kepada RM338.82 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021 daripada RM20.55 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2020, dipacu oleh perniagaan perladangan, gula dan logistik.

Perolehan pula meningkat kepada RM4.68 bilion daripada RM3.29 bilion bagi tempoh yang sama, menurut syarikat perladangan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

FGV menjelaskan, sektor perladangan mencatatkan keuntungan lebih tinggi sebanyak RM421.63 juta berbanding dengan kerugian RM105.58 juta yang dialami pada tempoh kewangan yang sama sebelumnya.

“Ini didorong terutama oleh harga minyak sawit mentah (MSM) purata yang lebih tinggi iaitu RM3,268 satu tan berbanding dengan RM2,453 satu tan pada suku yang sama tahun kewangan 2020, walaupun jumlah penjualan lebih rendah iaitu 18.9 peratus.

“Prestasi sektor ini juga disumbangkan oleh keuntungan perjanjian pajakan tanah (LLA) bernilai saksama sebanyak RM36.60 juta berbanding dengan RM133.23 juta pada suku yang sama sebelumnya,” menurut FGV.

Keuntungan LLA bagi tahun semasa dipacu khususnya oleh semakan andaian hasil yang digunakan apabila liabiliti LLA berlaku.

Bagaimanapun, pengeluaran tandan buah segar (TBS) susut 5.3 peratus daripada 1.90 juta tan kepada 1.8 juta tan.

“Ini menyebabkan hasil per hektar yang rendah iaitu 7.11 tan berbanding dengan 7.51 tan yang dilaporkan pada suku yang sama sebelumnya, manakala kadar pengekstrakan minyak yang dicapai adalah lebih tinggi dengan 20.12 peratus berbanding 20.05 peratus yang dicatatkan sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

“Prestasi lebih baik ini sebahagiannya diimbangi oleh kerugian nilai saksama derivatif sebanyak RM11 juta berbanding dengan keuntungan RM42.92 juta yang dilaporkan pada tempoh kewangan yang sama sebelumnya serta susut nilai perladangan getah sebanyak RM7.86 juta,” katanya.

Sementara itu, FGV juga menjelaskan, sektor gula mencatatkan keuntungan RM73.73 juta berbanding dengan kerugian RM54.42 juta pada tempoh kewangan sama sebelumnya disebabkan terutama oleh peningkatan margin yang dicapai daripada harga jualan purata yang lebih tinggi.

Sektor logistik dan lain-lain mencatatkan peningkatan keuntungan kepada RM31.88 juta daripada keuntungan RM22.62 juta pada tempoh yang sama.

“Keuntungan daripada bahagian logistik meningkat tiga peratus, disokong jumlah tanan dan pemukalan yang meningkat, manakala bahagian lain mencatatkan kerugian yang lebih rendah sebanyak 56 peratus yang disokong oleh kos penyusutan yang berkurangan dalam perniagaan teknologi maklumat selain pengurangan perbelanjaan yang dicatatkan perniagaan perjalanan,” jelasnya.

Melangkah ke hadapan, FGV berpendapat pandemik Covid-19 tetap menjadi risiko terbesar tunggal baginya kerana pandemik yang berlarutan dan kebimbangan mengenai varian baharu akan terus menjejaskan industri perladangan.

“Beberapa operasi kumpulan menghadapi penutupan sementara dan kekurangan pekerja asing. Bagi mengurangkan kesan penutupan, program vaksinasi dipercepat di seluruh operasi kami,” menurutnya.

Dari aspek positif, harga MSM dijangka kekal tinggi susulan pengeluaran minyak sawit dan minyak lain yang rendah.

Perniagaan gula kekal memberangsangkan memandangkan permintaan terhadap gula bertapis terus stabil walaupun kawalan pergerakan dilaksanakan di seluruh negara.

Sementara itu pelaksanaan strategi perniagaan logistik akan terus dilakukan untuk meningkatkan jumlah jualan, margin dan kecekapan operasi.

“Tanpa mengambil kira situasi luar jangka, lembaga pengarah berpandangan prestasi syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 akan sejajar dengan perkembangan industri,” jelasnya. - Bernama