Kanak-kanak antara 12 PATI diusir cuba masuk Sarawak secara haram

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Pasukan Markas Divisyen Pertama Infantri (1 Div) mengusir 12 pendatang tanpa izin termasuk seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia yang cuba memasuki Sarawak secara haram dalam dua insiden berasingan pada Ahad lepas.

Sel Perhubungan Raya Markas 1 Div dalam kenyataan memaklumkan, dalam insiden pertama pada pukul 2 petang, tiga individu dikesan berjalan kaki memasuki persempadanan Malaysia semasa anggota pasukan sedang menjalankan rondaan di lorong tikus sekitar Kampung Stass, Serikin di Bau.

“Setelah ditahan dan disoal siasat, kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 35 tahun didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan memasuki Malaysia kerana ingin mencari kerja,” menurut kenyataan itu.

Dalam insiden kedua pada pukul 4.45 petang pula, sembilan individu dikesan cuba memasuki Malaysia secara haram dari arah Indonesia melalui lorong tikus di Biawak, Lundu.

“Mereka terdiri daripada enam lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang berumur antara tujuh dan 53 tahun. Kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan memasuki Malaysia kerana ingin mencari pekerjaan,” tambah kenyataan itu.- Bernama

Artikel Berkaitan: