SelVAX: Lagi negeri mohon pinjaman vaksin Covid-19

Selangor sebelum ini bersetuju memberi pinjaman vaksin Covid-19 kepada beberapa negeri sebelum ini. Gambar kecil: Amirudin
Selangor sebelum ini bersetuju memberi pinjaman vaksin Covid-19 kepada beberapa negeri sebelum ini. Gambar kecil: Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang mempertimbangkan memberi pinjaman vaksin Covid-19 kepada sebuah lagi negeri menerusi Program Vaksin Selangor (SelVAX).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, buat masa ini, pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Pasukan Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) berhubung kebenaran pinjaman vaksin berkenaan kepada negeri berkenaan.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah berhubung pinjaman itu sekiranya CITF memberi jaminan pulangan balik vaksin berkenaan.

"Kalau CITF benarkan dan ada jaminan pemulangan balik, Insya-ALLAH kita akan gunakan kerana simpanan yang kita ada itu disiapkan untuk suntikan dos ketiga," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Bangunan Annex, di sini pada Isnin.

Kerajaan Selangor pada 19 Ogos lalu memutuskan memberi pinjaman sebanyak 500,000 dos vaksin Covid-19 kepada beberapa negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kadar kebolehjangkitan Covid-19 yang semakin menurun di negeri ini, Amirudin berkata, perkembangan itu merupakan satu perkembangan positif namun masyarakat masih belum selamat sepenuhnya.

"Kita tidak akan selamat kerana ada yang masih belum mendapatkan vaksin dan boleh menjadi penyebar wabak ini," katanya.

Justeru, beliau berharap masyarakat dapat mengambil vaksin Covid-19 sebagai usaha mengurangkan risiko jangkitan wabak berkenaan di samping mengamalkan langkah-langkah norma baharu.

Artikel Berkaitan: