X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Sultan Johor gesa kerajaan kaji semula syarat program MM2H

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kerajaan perlu menyemak semula syarat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi mencapai imbangan positif terhadap kemasukan pelabur serta pertumbuhan ekonomi negara.

Menurusi muat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Isnin, baginda bertitah supaya kerajaan mempertimbangkan semula syarat-syarat baharu yang ditetapkan kerana ia dikhuathiri boleh menjejaskan kemasukan peserta baharu, serta pemegang pas MM2H yang sedia ada sekarang.

“Penetapan syarat baharu seharusnya lebih baik, bagi mendorong kemasukan pelancong serta pelabur untuk kembali meningkatkan ekonomi negara.

“Jika ia (syarat baharu) terlalu ketat, kemungkinan boleh memberi kesan kepada pendapatan negara, serta memberi tekanan kepada peserta baharu dan sedia ada.

“Ini juga amat mengecewakan kita di Johor di mana kita mempunyai hubungan sejarah yang lama dengan Singapura serta rakyatnya, syarat baharu ini kemungkinan akan menyebabkan mereka untuk tidak melabur di Johor,” titah baginda.

Baginda bertitah, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mengembalikan kriteria yang ditetapkan dan berkesan sebelum ini dalam mempromosikan Malaysia sebagai antara destinasi persaraan antarabangsa.

Sejak dimulakan pada tahun 2002, hanya 57,478 warga asing diberikan pas jangka panjang MM2H, namun program itu telah dihentikan sementara pada September 2018 untuk dikaji semula dengan syarat-syarat baharunya diperkenalkan pada minggu lalu.

Di bawah syarat baharu yang ditetapkan, pendapatan luar negara peserta MM2H adalah sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini manakala pemilikan akaun simpanan sekurangnya-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak mereka.

Peserta juga perlu pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta, kadar fi pas daripada RM90 dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses pula sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan.

“Peraturan-peraturan baharu ini akan menyebabkan lebih banyak pemegang pas MM2H keluar dari negara ini. Bagaimana kita hendak mempromosikan Malaysia sebagai antara destinasi pelaburan?

“Jika kita kerap mengubah peraturan, ini boleh menyebabkan ketidakyakinan dalam kalangan peserta, dan ini juga bukan masanya untuk menaikan kadar fi. Pengubahan syarat secara drastik akan menjejaskan imej negara,” titah baginda.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!