Malaysia #QuranHour seru umat Islam perbanyakkan zikir, solat

Tangkap layar bacaan doa yang dipimpin oleh qari daripada My #QuranTime, Ahmad Tirmizi Ali (kiri) di akhir program Malaysia #QuranHour pada Isnin.
Tangkap layar bacaan doa yang dipimpin oleh qari daripada My #QuranTime, Ahmad Tirmizi Ali (kiri) di akhir program Malaysia #QuranHour pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Malaysia #QuranHour kali ini membawa umat Islam meneroka surah terakhir dalam tujuh Surah Al-Musabbihat iaitu Surah Al-A’la dengan mengajak membasahkan lidah melalui alunan zikir dan solat kepada ALLAH SWT.

Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, Surah Al-Musabbihat dimulakan dengan tasbih iaitu puji syukur kepada ALLAH SWT.

Marhaini Yusoff
Marhaini Yusoff

“Surah Al-A’la pula membawa makna Yang Paling Tinggi di mana ayat 14 dan 15 membawa solusi daripada ALLAH SWT untuk sentiasa berzikir dan solat.

“Pelaksanaan #QuranHour bagi dua tahun terakhir ini berlaku dalam musim pandemik Covid-19 dengan kes kematian meningkat pada tahun 2021 menyebabkan kesedaran untuk hidup berQuran lebih bermakna lagi.

“Berita kematian semakin banyak saban hari membuatkan kita dekat dengan perintah ingat mati daripada Surah Al-Mulk yang mendorong manusia berusaha melakukan kebaikan berterusan (Ahsanul Amala) dan menjadi motivasi untuk mencipta kejayaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Marhaini berkata, program tersebut adalah produk Malaysia yang mencetuskan World #QuranHour di peringkat dunia dan diadakan di lebih 300 lokasi di luar negara dengan 1.46 bilion capaian di media sosial pada tahun 2019.

Beliau menambah, peranan media amat besar dalam menjayakan misi berinteraksi dengan al-Quran sebagai pendekatan untuk melakukan perubahan kerangka fikir dan membina ekosistem Islam dalam semua aspek kehidupan.

Artikel Berkaitan:

“TV AlHijrah memainkan peranan besar dalam merealisasikan hasrat kempen iaitu satu jam bersama al-Quran setiap hari melalui My #QuranTime setelah lima tahun pelaksanaan Malaysia #QuranHour.

“Pada lima tahun awal, pelaksanaan kempen dijalankan dengan kerjasama erat bersama majlis agama negeri dan organisasi serta diadakan secara fizikal dengan berkumpul beramai-ramai di lokasi terpilih.

“Namun sejak dua tahun ini, fokusnya adalah setiap rumah dan organisasi dapat mengikuti melalui tayangan di TV AlHijrah, Astro Oasis, Bernama TV, RTM serta platform digital di FB Sinar, Bernama Radio, Radio IKIM, WorldQuranHour dan Denaihati Network serta ramai juga yang melakukan secara dalam talian di Google Meet, YouTube, Zoom dan Facebook,” jelasnya.

Sehingga jam 9 pagi Isnin, sebanyak 3,548 lokasi yang berdaftar menyertai program Malaysia #QuranHour termasuk organisasi, Sahabah Al-Quran, Rumah Ngaji, sekolah dan individu, manakala antara agensi termasuklah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Daerah serta sekolah seluruh negara.