Polis lepas tembakan, suspek kes samun cuba rempuh anggota

Suspek menunjukkan kereta Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk melarikan diri.
Suspek menunjukkan kereta Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk melarikan diri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan mengambil wang daripada warga asing dalam kejadian di Bukit Jalil pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, ketika kejadian pada jam 6.30 petang itu, suspek memperkenalkan diri sebagai polis dan mahu memeriksa mangsa di hadapan Apartment Sri Rakyat sebelum mengambil wang berjumlah RM150.

Menurutnya, suspek kemudian menaiki kereta dan cuba merempuh anggota polis yang sebelum itu memberi amaran supaya keluar daripada kenderaan.

Barang-barang yang terdapat dalam kereta suspek.
Barang-barang yang terdapat dalam kereta suspek.

“Bagaimanapun, suspek yang berusia 43 tahun itu bertindak memandu meluru ke arah anggota tersebut. Anggota polis sempat mengelak dan melepaskan empat das tembakan ke arah tayar kereta jenis Perodua Myvi tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Idzam berkata, dua anggota yang menunggang motosikal itu terus mengejar suspek sehingga ke Jalil Link, Bukit Jalil sebelum kenderaan suspek terhalang oleh kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat merah.

“Suspek bagaimanapun terus memandu kenderaannya melalui pembahagi jalan dan melawan arus menuju ke arah Lebuhraya Kesas menghala ke Shah Alam.

"Polis berjaya menahan lelaki itu di Taman Sentosa, Klang pada 8.50 malam Ahad dan semakan mendapati dia mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

Kesan tembakan ke arah kereta suspek.
Kesan tembakan ke arah kereta suspek.

Tambah beliau, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih dan suspek didapati positif methamphetamine.

Menurutnya, suspek direman selama lima hari bermula Isnin dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 309 Kanun Keseksaan.