X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

SMK Tengku Afzan sertai Malaysia#QuranHour sempena Hari Kemerdekaan

A
A
KUANTAN - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Afzan di sini turut mengimarahkan Program Munajat dan Tausiah Kemerdekaan Malaysia#QuranHour sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 pada Isnin.

Setiausaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak berkata, program yang dilangsungkan secara dalam talian bersama Dr Ahmad Irfan Akmal Hisham dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu agak menarik apabila turut menyentuh telahan ilmu falak disebalik pemilihan tarikh hari kemerdekaan negara.

Mohd Rozamli Mohd Rozak
Mohd Rozamli Mohd Rozak

Menurutnya, turut dikupas tentang tiga motivasi dari surah al-Mulk iaitu tentang keberkatan, ingat akan kematian dan Ahsanu Amala (amal terbaik).

"Turut dikupas tujuh surah musabihat sebagai formula untuk Malaysia berbudi dan penyayang dengan resolusi kejayaan akhir zaman iaitu diri, keluarga, komuniti dan bangsa terbaik," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Mohd Rozamli berkata, pada program itu juga turut dikongsi bacaan doa yang pernah dibaca Mufti Negeri Sembilan pertama, Syeikh Ahmad al Linggi pada 31 Ogos 1957 untuk menyuntik aura kemerdekaan di sekolah tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak Sekretariat Rumah Ngaji Negeri Pahang sebelum ini telah menyebarkan kempen Malaysia#QuranHour ini kepada pelbagai agensi untuk turut sama menyertainya secara dalam talian atau mengikutinya secara langsung melalui saluran TV Al Hijrah.

"Saya difahamkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang antara agensi yang turut sama meraikan program tersebut hari ini.

"Tahniah buat JPN Pahang melalui Sektor Pendidikan Islam (SPI) yang menggerakkan semarak Malaysia#QuranHour kepada warga pendidikan melalui program ini secara dalam talian," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Tengku Afzan, Haniliza Sulaiman menyaambut baik inisiatif Rumah Ngaji dalam penganjuran Malaysia#QuranHour sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

Haniliza Sulaiman
Haniliza Sulaiman

Menurutnya, beliau turut mengajak dan mengingatkan semua warga SMK Tengku Afzan untuk sama-sama semarakkan Malaysia#QuranHour di lokasi masing-masing.

"Atas semangat yang sama, pihak sekolah juga telah mewujudkan Laman Quranic Valley di pintu masuk sekolah yang kini dalam proses ubah suai.

"Langkah ini sebagai menyambut idea-idea yang pernah dicetuskan Rumah Ngaji seperti Malaysia#QuranHour, MyQuranTime, World#QuranHour dan sebagainya," katanya.

Warga SMK Tengku Afzan turut mengambil bahagian dalam Program Munajat dan Tausiah Kemerdekaan Malaysia#QuranHour sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 pada Isnin.
Warga SMK Tengku Afzan turut mengambil bahagian dalam Program Munajat dan Tausiah Kemerdekaan Malaysia#QuranHour sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 pada Isnin.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!