Kompaun bukan keutamaan: MBJB

Mohd Noorazam menyampaikan sumbangan dan memasang Jalur Gemilang semasa meninjau PPV di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, Johor Bahru, pada Isnin.
Mohd Noorazam menyampaikan sumbangan dan memasang Jalur Gemilang semasa meninjau PPV di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, Johor Bahru, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memberi kelonggaran kepada peniaga membabitkan lesen perniagaan kerana memahami banyak yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, kompaun bukan satu keutamaan bagi MBJB ketika ini dan menggunakan pendekatan teguran serta nasihat itu kerana masih ramai yang mengalami kesukaran hidup.

"MBJB mahu memudahkan peniaga. Contohnya mereka yang mahu berususan dan membuat sebarang permohonan dengan MBJB boleh ikut norma baharu seperti mengisi borang secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan Jalur Gemilang dan meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di sini pada Isnin.

Turut hadir Pengarah Sukarelawan dan PPV Bergerak Sekretariat Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Azlinda Abd Latif.

Mohd Noorazam yang baru mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Johor Bahru ke-13 pada Ahad berhasrat menjayakan Dokumen Pelan Strategik MBJB 2021-2025 yang telah dirangka sebelum ini.

Beliau mahu setiap warga bandar raya Johor Bahru untuk memupuk rasa sayang dan mewujudkan rasa tanggungjawab untuk bersama-sama membangunkan dan memelihara bandar raya ini.

"Setiap warga bandar raya mempunyai peranan untuk sama-sama mewujudkan ekosistem bandar raya yang sihat, bersih dan selamat," katanya.

Artikel Berkaitan: