Kementerian Pengangkutan disaran henti perkhidmatan feri Dragon Star

Azman (tengah) menunjukkan durian disediakan dalam Pesta Durian 2019.
Azman (tengah) menunjukkan durian disediakan dalam Pesta Durian 2019.
A
A
A

ALOR SETAR - Operasi perkhidmatan feri penumpang Dragon Shipping Sdn Bhd perlu dihentikan, demikian menurut Exco Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama, Azman Nasrudin.

Beliau berkata, saranan itu perlu diperhalusi oleh Kementerian Pengangkutan memandangkan syarikat tersebut sudah dua kali berdepan masalah yang melibatkan orang awam.

"Sehingga kini kita masih belum menerima laporan berkaitan insiden feri terbakar itu, tetapi, melalui mesyuarat baru-baru ini, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) bersetuju supaya kerajaan persekutuan menamatkan perkhidmatan feri itu.

"Ini dilakukan demi menjaga imej Kedah termasuklah Pulau Langkawi," katanya.

Azman berkata sedemikian dalam sidang media selepas merasmikan Pesta Durian 2019 di pekarangan Stadium Darul Aman di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Agro Holding Berhad, Zulkifli Ahmad Rashidi dan Pengarah Jabatan Pertanian Kedah, Eliyas Saad.

Azman berkata, kerajaan negeri juga senada dengannya agar Kementerian Pengangkutan menghentikan operasi perkhidmatan feri penumpang syarikat berkenaan.

"Di atas persetujuan MMK termasuklah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir agar saranan berkenaan dibuat kepada kementerian bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada alasan kukuh memandangkan kurang berpuas hati dengan perkhidmatan feri penumpang ditawarkan syarikat berkenaan," ujarnya.

Terdahulu, seramai 52 penumpang dan tujuh kru feri Dragon Star berdepan detik cemas apabila feri penumpang dinaiki mereka terbakar tiba-tiba selepas 10 minit bertolak dari Terminal Feri Kuah, Langkawi.

"Kita dapati syarikat berkenaan telah dua kali berdepan masalah, iaitu kejadian feri terkandas lapan jam Oktober lepas dan feri terbakar pada minggu lalu," katanya.

Tambahnya, penamatan itu juga demi menjaga imej dan mengelakkan kejadian berulang terutamanya Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) akan berlangsung pada Mac ini.

"Sebagai Exco Pengangkutan, saya sudah hubungi Kementerian Pengangkutan dan menyatakan saranan supaya operasi perkhidmatan syarikat itu ditamatkan," katanya.

"Kami masih belum terima maklum balas dan masih menunggu keputusan daripada pihak kementerian yang mana ia mungkin dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara pada 5 Mac depan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Azman berkata, Jabatan Laut Malaysia diarah memperketatkan kriteria pemeriksaan dan melakukan pemeriksaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ke atas feri penumpang demi menghadapi LIMA'19.

"Tindakan berkenaan bagi memastikan feri beroperasi mengikut SOP ditetapkan susulan pihaknya menjangkakan bilangan penumpang akan meningkatkan bersempena LIMA'19.

"Selepas kejadian berlaku, pelancong mungkin risau dan takut, bagaimanapun kita telah memberi arahan supaya pemeriksaan yang ketat dan kerap dilakukan, jadi mereka diminta supaya tidak bimbang," katanya.

LIMA'19 akan berlangsung pada 26 hingga 30 Mac ini.