JPJ Terengganu tambah slot janji temu dalam talian

Zulkarnain Yasin
Zulkarnain Yasin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menambah jumlah slot janji temu daripada lima kepada tujuh bagi memudahkan orang awam berurusan dengan agensi berkenaan bermula pada Ahad.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, urus niaga bahagian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) akan meningkat daripada 299 janji temu menjadi 400 janji temu setiap hari.

Menurutnya, dengan penambahan slot janji temu itu lebih ramai pelanggan akan dilayan sekali gus dapat mengurangkan masa menunggu dalam talian.

“Keputusan untuk tambah slot janji temu ini sehingga mencapai 40 peratus daripada jumlah sedia ada bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan mendapat capaian yang lebih meluas.

"Ini kerana hasil pemantauan yang dilakukan mendapati ramai pelanggang yang membuat janji temu sehingga menyebabkan sebahagian besar slotnya habis hanya dalam masa beberapa minit sahaja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, selain itu pihaknya turut memperkenalkan kemudahan 'Walk in terkawal' bermula Ahad, iaitu dengan hanya membenarkan 10 pelanggan sahaja berurusan untuk setiap satu slot.

Beliau berkata, kemudahan secara 'walk in' juga turut diberikan kepada golongan warga emas, ibu mengandung dan orang kelainan upaya (OKU) bagi mendapatkan pekhidmatan di JPJ Terenganu.

"Bagi kemudahan ini, setiap pelanggan akan diberikan satu kad nombor dan hanya 10 pelanggan sahaja dibenarkan berurusan bagi setiap satu slot yang mula dibuka pada jam 8 pagi sehingga tamat waktu pejabat.

Artikel Berkaitan:

"Sistem ini sama seperti sistem yang dipraktikkan di pasaraya dan juga mereka yang berurusan di dalam bangunan bank-bank ketika ini.

"Penambahan kedua-dua perkhidmatan ini diharap dapat memudahkan orang ramai menyelesaikan urusan pembayaran melalui kedua-dua perkhidmatan ini memandangkan tarikh moratorium akan tamat pada 30 September ini," katanya.