Polis cari maklumat kes langgar lari

No Image Caption
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis memohon kerjasama orang awam menyalurkan maklumat berhubung kemalangan langgar lari yang mengakibatkan seorang lelaki maut di Kilometer (km) 2.5 Jalan Simpang Tiga Jeram di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika mangsa berjalan bersendirian dari rumahnya di Ladang Lombourne, Jeram ke rumah saudaranya yang terletak kira-kira 100 meter.

Menurutnya, mangsa disyaki dilanggar lari oleh sebuah kenderaan bagaimanapun jenis dan nombor pendaftarannya tidak dapat dikenal pasti.

"Tiada sebarang kesan brek dan sisa pecahan kenderaan dikesan dalam kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ramli berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas menerima panggilan pada jam 7.20 pagi.

Katanya, sehingga kini pihak polis masih berusaha untuk mengesan kenderaan terbabit.

"Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi balai polis terdekat atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhamad Najmi Abd Rahman di talian 017-8028105 atau 03-32891222.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: