DUN Perak kecoh Exco Kesihatan 'diserang'

Mohd Akmal (kanan) menjawab soalan yang dikemukakan Howard Lee ketika sesi penggulungan Sidang DUN Perak, pada Isnin. - Foto Urusetia Dewan Negeri Rakyat
Mohd Akmal (kanan) menjawab soalan yang dikemukakan Howard Lee ketika sesi penggulungan Sidang DUN Perak, pada Isnin. - Foto Urusetia Dewan Negeri Rakyat
A
A
A

IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kecoh selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tidak berpuas hati dengan jawapan Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin ketika sesi penggulungan pada Isnin.

Mohd Akmal mula 'diserang' beberapa ADUN selepas persoalan mengenai pengurusan Covid-19 di Perak tidak dijawab terlebih dahulu dalam sesi berkenaan sebaliknya memulakan dengan menjawab isu alam sekitar dan hidupan liar.

Antara ADUN yang bangun meminta penjelasan ialah Ko Chun Seng (DAP-Kepayang), Jenny Choi (DAP-Canning), Chong Zhemin (DAP-Keranji), Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji), Datuk Asmuni Awi (Amanah-Manjoi) dan Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai).

Dalam sesi penggulungan itu, Mohd Akmal beberapa kali diganggu ADUN-ADUN berkenaan malah ada dalam kalangan mereka yang mendesak supaya exco berkenaan meletakkan jawatan.

Bagaimanapun Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mencelah untuk menenangkan keadaan dengan meminta semua ADUN mengemukakan soalan seorang demi seorang.

Menjawab persoalan dikemukakan oleh ADUN-ADUN pembangkang tersebut mengenai pengurusan Covid-19 di Perak, Mohd Akmal menjelaskan, Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 dipengerusikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan dibantu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Katanya, bagaimanapun beliau tetap bersama-sama dengan kerajaan negeri membantu menguruskan keperluan sektor kesihatan di negeri ini sepanjang tempoh Covid-19.

Beliau turut menjelaskan kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital kerajaan di Perak meningkat terutama semasa pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kadar penggunaan keseluruhan katil ICU bagi Perak adalah di antara 90 hingga 100 peratus. Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perak sentiasa bersiap siaga dengan katil-katil ICU bagi merawat pesakit kritikal Covid-19.

"Hospital kerajaan di Perak telah menyediakan sebanyak 118 buah katil ICU bagi merawat pesakit-pesakit kritikal," katanya.