PERMATA Malaysia minta kerajaan bantu institusi tahfiz

Gambar hiasan (Gambar kecil: Manolito Mohd Dahlan)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Manolito Mohd Dahlan)
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran (PERMATA) Malaysia meminta kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membantu institusi tahfiz di negara ini yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Presidennya, Manolito Mohd Dahlan berkata, bantuan daripada kerajaan dan pihak berkuasa agama amat diperlukan bagi memastikan tiada penutupan operasi maahad.

Menurutnya, maahad tahfiz menjadi salah satu benteng utama umat Islam untuk memahami dan mendalami al-Quran.

"Oleh itu, ia perlu diselamatkan agar tiada pemberhentian kakitangan, tiada pemotongan gaji kakitangan malah penutupan operasi maahad," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Justeru, katanya, beberapa bantuan perlu dipertimbangkan kerajaan antaranya membantu menyalurkan bantuan perkapita (bantuan khas) untuk kakitangan seperti guru, kerani, warden, tukang masak dan pekerja am.

"Bantuan segera lain seperti peralatan Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta bayaran Jaringan Tanpa Wayar (WiFi) kepada ibu bapa bermasalah selain memohon kerajaan membenarkan maahad tahfiz beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Katanya, pada masa ini kira-kira 1,198 maahad tahfiz persendirian berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melibatkan seramai 84,643 murid dan 10,357 guru," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kepada kajian dijalankan PERMATA terhadap 512 maahad mendapati sebanyak 85.4 peratus maahad tahfiz hanya menerima bayaran yuran separuh atau kurang akibat ibu bapa tidak berkemampuan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kajian itu dijalankan menerusi aplikasi Google Form pada 30 dan 31 Mac lalu.

Manolito berkata, menerusi kajian itu juga, sebanyak 64.7 peratus maahad tahfiz terpaksa ditutup operasi atas arahan kerajaan.

"Selain itu, kajian mendapati sebanyak 52 peratus maahad hanya mampu membayar separuh gaji pekerja dan 38.1 peratus maahad tidak menerima bantuan Jakim.

"Sebanyak 34.4 peratus maahad hanya mampu bertahan tidak lebih tiga bulan dan 11.7 peratus maahad memberhentikan sepenuhnya kakitangan," katanya.

Menurut Manolito, PERMATA amat memandang serius kajian terbabit dan berharap masalah itu dapat ditangani segera.

"Kami juga simpati dengan nasib institusi tahfiz seperti yang tersiar di dalam media sebelum ini," katanya.