Cuepacs gesa ketua jabatan kenal pasti kakitangan belum vaksin

Cuepacs gesa semua ketua jabatan untuk mengenal pasti kakitangan yang tidak mendaftar atau belum menerima suntikan vaksin. - Gambar hiasan
Cuepacs gesa semua ketua jabatan untuk mengenal pasti kakitangan yang tidak mendaftar atau belum menerima suntikan vaksin. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa semua ketua jabatan untuk mengenal pasti kakitangan yang tidak mendaftar atau belum menerima suntikan vaksin.

Presidennya, Adnan Mat berkata, proses tersebut perlu dilaksanakan bagi membolehkan maklum balas punca masih belum mendaftar itu diterima dengan segera.

Menurut beliau, ketua jabatan perlu mengadakan sesi pertemuan dengan pekerja masing-masing bagi mengetahui punca masalah tidak menerima vaksin tersebut.

“Input daripada pertemuan tersebut perlu digunakan untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh kakitangan mereka.

“Dalam masa sama, maklumat berkaitan kebaikan vaksin boleh diberikan jika masih ada yang tidak mendapat maklumat yang tepat.

“Cuepacs yakin proses ini boleh meningkatkan lagi peratusan penjawat awam divaksin apabila permasalahan yang dihadapi oleh kakitangan didengari dan diselesaikan oleh ketua jabatan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Adnan berkata, kerajaan perlu menyegerakan proses vaksinasi 30,000 penjawat awam yang masih belum mendapat tarikh janji temu.

Tambahnya, kumpulan tersebut hanya segelintir dan boleh diselesaikan dalam tempoh satu hari melalui jabatan dan kementerian masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Cuepacs melihat pelaksanaan PPV bergerak ke premis dan jabatan kerajaan boleh menyelesaikan proses memvaksin 30,000 penjawat awam yang belum lagi mendapat janji temu.

“Setiap jabatan mempunyai data kakitangan yang lengkap dan proses ini boleh berjalan dengan lancar sekiranya proses vaksinasi dilakukan di premis kerajaan selain dapat mengelakkan kesesakan,” ujarnya.

Jelas beliau, sebagai jentera pentadbiran kerajaan, penjawat awam seharusnya tidak mengabaikan tanggungjawab mereka untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Kata Adnan, mereka perlu mengambil vaksin untuk memastikan persekitaran yang selamat di jabatan masing-masing.

“Keengganan segelintir untuk divaksin hanya akan mendedahkan risiko kepada rakan sekerja sehingga mewujudkan persekitaran yang tidak selamat di tempat kerja.

“Pengambilan vaksin juga penting kerana penjawat awam adalah petugas barisan hadapan yang berkhidmat dengan rakyat dalam menyampaikan perkhidmatan sama ada melalui kaunter atau secara langsung di lapangan.

“Jadilah contoh terbaik kepada rakyat dengan menjadi individu pertama yang menjayakan setiap program dilakukan oleh kerajaan,” ujarnya.