PM rakam penghargaan kepada Yee Khie sumbang pingat perak

Ismail Sabri rakamkan penghargaan kepada Jong Yee Khie di atas kejayaannya meraih pingat perak pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada Isnin. - Foto Facebook Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri rakamkan penghargaan kepada Jong Yee Khie di atas kejayaannya meraih pingat perak pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada Isnin. - Foto Facebook Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan penghargaan kepada atlet powerlifting negara, Jong Yee Khie di atas kejayaannya meraih pingat perak pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada Isnin.

“Terima kasih Jong Yee Khie kerana menghadiahkan Keluarga Malaysia pingat perak. Anda telah berjaya menyahut cabaran untuk memastikan Jalur Gemilang berkibar di bumi Tokyo.

“Penghargaan yang sama buat jurulatih dan seluruh kontinjen Malaysia,” katanya menerusi catatan di akaun rasmi Facebook beliau.

Pagi Isnin, atlet berusia 32 tahun dari Batu Kawa, Kuching itu merangkul pingat perak kategori 107 kilogram (kg) lelaki, selepas berjaya mengangkat bebanan seberat 237 kg pada percubaan kedua di Tokyo International Forum.

Walaupun tidak berjaya dalam percubaan pertama dengan angkatan seberat 230 kg, beliau kembali bangkit untuk mengesahkan pingat perak dalam percubaan keduanya, dengan angkatan seberat 237 kg.

Atlet Mongolia Enkhbayaryn Sodnompiljee merangkul emas dengan mencatatkan rekod Paralimpik menerusi bebanan 245 kg, manakala Saman Razi dari Iran meraih gangsa dengan angkatan 231 kg.

Kejayaan Yee Khie itu merupakan sumbangan pingat kedua kontinjen negara di Tokyo, selepas Bonnie Bunyau Gustin menghadiahkan pingat emas kategori 72 kg dengan angkatan 217 kg, yang juga merupakan rekod baharu Paralimpik pada Sabtu lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: