Siasatan paip bocor siap pertengahan bulan depan

Tun Ahmad Faisal memasang bendera pada motosikal seorang penghantar makanan yang melalui Drawbridge pada Isnin.
Tun Ahmad Faisal memasang bendera pada motosikal seorang penghantar makanan yang melalui Drawbridge pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Siasatan jawatankuasa khas berhubung punca kebocoran paip di dasar Sungai Terengganu yang menjejaskan 150,000 penduduk di daerah ini serta Kuala Nerus dijangka siap pertengahan September ini.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (Upen), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, hasil siasatan itu kemudian akan diserahkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menurutnya, sehingga kini siasatan masih dijalankan dan pihaknya sedang mengumpul maklumat berhubung kejadian itu.

"Kita ada tempoh sehingga pertengahan September dan sekarang kita sedang kumpul dokumen dan laporan yang ada di jabatan dan orang ramai. Jadi saya minta jika sesiapa ada maklumat bolehlah berhubung dengan Upen," katanya.

Beliau yang mengetuai jawatankuasa siasatan itu berkata demikian kepada pemberita pada Program Kibar Jalur Gemilang di Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Tun Ahmad Faisal berkata, jawatankuasa siasatan disertai oleh 12 ahli terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi itu sudah mengadakan tiga mesyuarat dalam usaha mengumpul maklumat berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata, siasatan juga dilakukan melibatkan pelbagai aspek termasuk dakwaan kebocoran berpunca aktiviti menyedut pasir dan faktor semula jadi.

"Kita siasat semua aspek daripada aktiviti korek pasir, aktiviti semula jadi. Setakat ini jawatankuasa siasatan tidak mengekang diri kita kepada sesuatu sudut sahaja, kita masih terbuka dengan semua maklumat dan pandangan daripada semua pihak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terengganu sebelum ini menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat punca kebocoran paip utama yang membekalkan air ke Tangki Utama Berangan mengakibatkan gangguan bekalan air di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Pengarah Upen dan dianggotai beberapa jabatan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Bekalan Air, Jabatan Pengairan dan Saliran, Syarikat Air Terengganu (Satu) dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan krisis bekalan air di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berlaku berikutan paip dasar Sungai Terengganu pecah buat kali kedua yang dijangka kembali pulih pada 12 September depan.

Kerja-kerja baik pulih mengambil masa sehingga 20 hari kerana kerosakan paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) itu lebih teruk berbanding sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Paip dasar Sungai Terengganu pecah lagi