X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Kes Covid-19 turun lagi, 19,268 hari ini

Dr Noor Hisham
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes baharu Covid-19 di Malaysia pada Isnin turun kepada 19,268 kes selepas enam hari berturut-turut melebihi 20,000 kes.

Malaysia sebelum ini merekodkan kes harian melebihi 20,000 kes dari 24 Ogos hingga 29 Ogos dengan kes harian tertinggi sebanyak 24,599 kes pada 26 Ogos.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di akaun Twitter beliau berkata, jumlah yang dilaporkan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia kini mencecah 1.72 juta.

“Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 3,567 kes diikuti Sabah (2,310), Johor (2,265), Kedah (2,084) dan Sarawak (2,028),” katanya.

Beliau berkata, sebanyak tiga negeri mencatatkan kes melebihi 1,000 iaitu Pulau Pinang (1,780), Kelantan (1,308) dan Perak (1,144) manakala negeri yang merekodkan tiga angka ialah Pahang (788), Kuala Lumpur (672), Terengganu (544), Melaka (395) dan Negeri Sembilan (269).

Perlis pula merekodkan 71 kes, Putrajaya (41) dan Labuan (2).

Dr Noor Hisham dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan daripada 19,268 kes baharu itu, sebanyak 399 atau 2.1 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala 18,869 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

Secara keseluruhan, sebanyak 14,664 atau 76.1 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan itu tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Beliau berkata, jumlah pesakit pulih ialah 21,257 orang menjadikan kumulatif kes sembuh adalah 1,443,262 manakala kes aktif kini 265,713.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa sejumlah 1,033 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 476 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Beliau juga berkata, sejumlah 295 kematian baharu dilaporkan melibatkan 261 warganegara dan 34 bukan warganegara dengan 53 kes adalah kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Mengulas 36 kluster baharu yang dikesan, Dr Noor Hisham berkata, 17 daripadanya melibatkan tempat kerja, 14 kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi, satu kluster pendidikan lain, satu kluster pendidikan tinggi serta satu kluster pusat tahanan.

Beliau berkata, berdasarkan data terkini, nilai kebolehjangkitan Covid-19 atau R-Naught (Rt) Malaysia pada Ahad adalah 1.01 dan negeri yang mencatatkan nilai tertinggi ialah Sarawak dengan 1.24 diikuti Perlis (1.20) dan Sabah (1.14).

Semua negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0 kecuali Pahang, Melaka, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Labuan.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!