Kos makanan ternakan punca harga ayam naik

Abdul Yunus pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14. - Foto ihsan Urusetia Dewan Negeri Perak
Abdul Yunus pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14. - Foto ihsan Urusetia Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Peningkatan kos harga makanan ternakan menjadi punca kenaikan harga ayam di pasaran.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, kebanyakan makanan ternakan adalah diperbuat daripada soya dan jagung yang diimport dari Argentina serta Brazil.

"Kenaikan kos makanan ini adalah kesan daripada peringkat luar negara lagi.

"Justeru kenaikan kos pengangkutan yang tinggi dan tidak dapat mengimport dedak dari luar negara bukanlah punca utama yang menyebabkan peningkatan harga ayam di pasaran," katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 pada Isnin.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melaksanakan Ops Rantai susulan kenaikan kos berkenaan yang memberi kesan kepada harga ayam dan telur ayam.

"Pegawai Pemantau Harga (PPH) turut melakukan pemantauan harga ayam di pasaran setiap hari bagi memastikan pasaran sentiasa kompetetif. Hasil pemantauan juga mendapati purata runcit bagi ayam bersih standard adalah stabil iaitu pada harga RM 7.51 sekilogram.

"Di bawah operasi terbabit, KPDNHEP turut mempergiatkan pemeriksaan di peringkat pengeluar, pengilang dan pengimport ternakan ayam," katanya.

Abdul Yunus berkata, sebanyak 46 Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga ayam.

Artikel Berkaitan:

"Peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tanpa mematuhi perundangan antipencatutan akan diambil tindakan tegas.

"Pengguna turut disarankan menggunakan Aplikasi Price Catcher untuk mendapatkan maklumat serta perbandingan harga barang keperluan, termasuk ayam yang dijual di premis berhampiran tempat tinggal mereka bagi tujuan pembelian terancang," katanya.

Jelasnya, bekalan dan harga barangan keperluan di seluruh negeri adalah terkawal.

"Seramai 176 penguat kuasa dan dibantu oleh 79 PPH KPDNHEP sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan secara harian di premis borong dan runcit bagi memastikan bekalan barangan keperluan harian mencukupi serta harga jualan barangan keperluan adalah munasabah.

"Sehingga 27 Ogos 2021, sebanyak 59,364 pemeriksaan telah dilakukan oleh KPDNHEP di seluruh negeri," katanya.