Abdul Karim CEO Satu baharu

Abdul Karim Endut
Abdul Karim Endut
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Abdul Karim Endut dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd (Satu) baharu berkuat kuasa 1 September.

Satu dalam kenyataannya berkata, pelantikan Abdul Karim adalah bagi menggantikan Ir Atemin Sulong yang menamatkan tempoh perkhidmatan pada 24 Julai lalu.

"Abdul Karim telah menjawat pelbagai jawatan kanan di konglomerat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Beliau mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam pengurusan operasi perkhidmatan air, teknikal dan penyelenggaran air, pengagihan dan pengurusan loji rawatan air," kata kenyataan itu pada Isnin.

Sementara itu, Menteri Besar yang juga Pengerusi Satu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengalu-alukan pelantikan Abdul Karim sebagai CEO baharu.

“Saya yakin beliau berupaya menerajui Satu ke arah perubahan pengoperasian dan amalan yang lebih baik serta berkesan sekaligus mampu menjadikan Satu sebagai sebuah syarikat korporat terbaik di negeri ini," katanya.

Abdul Karim adalah pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Bahan (Chemistry-Polymer) dari Henri Poincare Universiti, Nancy-I, France pada tahun 1993 dan Ijazah Kejuruteraan Bahan (major in Organic Chemistry).

Sebelum dilantik menerajui Satu, beliau merupakan Ketua Perkhidmatan Operasi yang mengawal selia perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan aset termasuk pengurusan strategik-energy management dan asset management system di Air Selangor.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga telah berkhidmat di beberapa syarikat korporat yang lain antaranya Konsortium Air Selangor di bawah KDEB Group, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS), dan ONDEO Services(M), SUEZ Group.