Persiapan Sukma 2020 giat dijalankan

Mohd Khuzzan Abu Bakar
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pembentangan Belanjawan Johor 2019 menyaksikan peruntukan sebanyak RM180 juta diumumkan bagi menyiapkan sebuah stadium ‘track and field’ di Mount Austin.

Selain itu, kerajaan negeri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta, bagi menyiapkan fasiliti memanah, lawn bowl dan petanque di Taman Impian Emas di samping pembinaan sebuah dataran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di Educity.

Pembinaan kesemua prasarana dan fasiliti tersebut dipertanggungjawabkan kepada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) bagi merealisasikan kejayaan program Sukan Malaysia (Sukma) 2020.

Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, beliau bersyukur dengan pengumuman peruntukan tersebut oleh Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dalam pembentangan Belanjawan Johor 2019.

“Alhamdullillah, RM180 juta untuk projek stadium di Mount Austin yang akan dibina oleh KPRJ. Begitu juga kemudahan lain diumumkan untuk memanah, lawn bowl dan petanque.

“Kalau ikut jangkaan KPRJ, semua fasiliti di Mount Austin akan siap pada bulan Jun tahun depan. Bagi fasiliti di Taman Impian Emas akan cuba siap hujung tahun 2019. Insya-ALLAH akan siap ikut jangkaan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai pembentangan Belanjawan Johor 2019 melibatkan program Sukma 2020 yang diumumkan Menteri Besar Johor, semalam.

Mohd Khuzzan berkata, beliau yakin semua projek yang sedang dan akan berjalan mampu disiapkan mengikut jadual serta menepati piawaian ditetapkan.

Sukma Johor dijadualkan berlangsung pada awal Julai 2020, sebelum bermulanya sukan Olimpik di Tokyo.

Sementara itu, satu pertemuan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara akan diadakan dalam masa terdekat.

Pertemuan itu bertujuan membincangkan mengenai persiapan Sukma Johor.