X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Pembentangan RMK12, Belanjawan 2022 ikut jadual: Penganalisis

Tengku Zafrul. - Foto Bernama
A
A

POSITIF utama untuk ekonomi daripada barisan kabinet yang baharu ialah pengekalan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).

Ketua Ekonominya, Suhaimi Ilias berkata, pengekalan kedua-dua menteri itu menunjukkan bahawa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Belanjawan 2022 di Parlimen adalah mengikut jadual.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa RMK12 dijangka dibentangkan di Parlimen pada 20 September 2021 dengan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober 2021.

“Di samping itu, persetujuan antara kerajaan dan pembangkang untuk bekerjasama dalam menangani pandemik dan pemulihan ekonomi akan dapat mengurangkan ketidakstabilan politik dan ketidaktentuan dasar, sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan kabinet yang baharu pada Jumaat lepas.

Selain Tengku Zafrul dan Mustapa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Penganalisis Maybank IB, Anand Pathmakanthan berkata, walaupun tiada Timbalan Perdana Menteri dinamakan dan kebanyakan menteri daripada pentadbiran sebelum ini mengekalkan jawatan mereka dalam kabinet baharu, pasaran mengalu-alukan pelantikan semula teknokrat Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan, serta Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang bertanggungjawab untuk usaha vaksinasi negara yang berjaya, sebagai Menteri Kesihatan.

“Kami mengekalkan kedudukan pasaran seimbang, melalui campuran nilai dan saham pertumbuhan serta tumpuan hasil yang berterusan,” katanya.

Mempunyai pandangan yang sama dengan Suhaimi dan Anand, penganalisis CGS-CIMB Securities Sdn Bhd, Ivy Ng Lee Fang dan Nagulan Ravi berkata, pembentangan RMK12 dan Belanjawan 2022 akan menjadi tumpuan dalam kalangan pelabur, yang juga boleh menjadi positif untuk sektor pembinaan.

Kedua-duanya berkata, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.8 peratus pada minggu lepas berikutan pengumuman kabinet, dijangka disebabkan optimisme terhadap kurangnya kemelut politik dalam tempoh terdekat selepas Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang dan berdasarkan kesinambungan dalam dasar.

“Bagi mengekalkan peningkatan, kami berpendapat pelabur mahu melihat bukti pemulihan aktiviti ekonomi, kadar vaksinasi yang lebih tinggi di negeri-negeri dengan peningkatan kes Covid-19 baharu dan lebih banyak negeri beralih kepada Fasa Tiga hingga Lima Pelan Pemulihan Negara. Kami masih percaya pelabur dapat menempatkan dalam saham pemulihan pada Ogos dan September,” kata mereka. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!