Kerajaan perlu serius laksana Akta Mencegah Lompat Parti

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu melihat secara serius cadangan pelaksanaan Akta Mencegah Lompat Parti bagi menghalang wakil rakyat yang telah diberikan mandat sewaktu pilihan raya daripada melompat parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bukanlah perkara baharu dan beliau sendiri pernah mencadangkannya pada tahun 2018 semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun katanya, ketika itu tiada siapa yang kisah akan cadangannya itu dan beliau menegaskan ia perlu dipertimbangkan untuk dilaksanakan oleh kerajaan baharu.

“Jangan kita cemari demokrasi di negara ini, jadi kita perlu hentikan lompat parti. Akta ini amat penting kerana ia bukan sahaja mencemar demokrasi, tetapi mereka yang ‘melompat’ ini ternyata mengkhianati pengundi.

“Mereka yang melompat parti bukan sahaja melanggar etika parti dan saya cadangkan jika ada yang melompat, pilihan raya kecil perlu dibuat secara automatik dan yang melompat tidak dibenarkan bertanding,” jelasnya dalam ciapan di Twitternya pada Isnin.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, sekiranya akta itu dapat dilaksanakan, ahli Parlimen yang melompat parti juga perlu dikenakan denda seperti memulangkan dana RM200,000 yang digunakan ketika kempen pilihan raya kepada parti.

Jelasnya, Malaysia akan menjadi salah sebuah negara contoh yang melaksanakan demokrasi terbaik jika akta itu dapat dilaksanakan.

Pada Ahad, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menarik perhatian ramai apabila meminta kerajaan mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau ‘recall election’ bagi menghalang wakil rakyat yang telah diberikan mandat oleh rakyat sewaktu pilihan raya daripada melompat parti.

Artikel Berkaitan:

Azalina yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dilaporkan berkata, ‘recall election’ merupakan mekanisme yang membolehkan rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat sekiranya mereka melompat parti.

Ia seterusnya membolehkan pilihanraya kecil diadakan semula di kawasan tersebut untuk memilih wakil rakyat baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Perkenal pilihan raya pecat wakil rakyat lompat parti