Selangor tak akan tutup kilang ada kelulusan MITI

Sidang DUN Selangor
Sidang DUN Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak akan menutup kilang-kilang di negeri ini yang mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan mematuhi semua syarat lesen ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, menurut Subseksyen 3(2) Akta 776, Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan pihak berkuasa pusat yang secara prinsipnya mempunyai kuasa bagi mengawal, menyelaras dan mengeluarkan sebarang arahan kepada entiti kerajaan.

Sze Han berkata, kerajaan negeri melalui PBT berperanan bagi memastikan kilang-kilang di negeri ini beroperasi dengan mematuhi syarat lesen ditetapkan.

Ng Sze Han
Ng Sze Han

"MKN juga boleh mengeluarkan perintah eksekutif kepada entiti kerajaan sebagaimana yang difikirkan perlu berhubungan dengan kawasan keselamatan.

"Arahan-arahan yang dikeluarkan oleh MKN merupakan satu kehendak undang-undang yang perlu dipatuhi dan mengikat kerajaan negeri," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini pada Isnin.

Sze Han berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan Leong Tuck Chee (DAP-Pandamaran) yang meminta pengesahan sama ada kerajaan negeri mempunyai kuasa menutup operasi kilang walaupun mereka mendapat kelulusan MITI.

Dalam pada itu, Sze Han berkata, bagi memastikan hasrat penggubalan Akta 776 dapat dilaksanakan oleh MKN, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri harus melaksanakan amalan tadbir urus yang baik.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah bagi memastikan kepentingan rakyat, ekonomi dan pentadbiran negeri serta negara dapat dipelihara dengan baik," katanya.