Nahas tiga maut: Pemandu Preve disambung reman seminggu

No Image Caption
A
A
A

LUMUT - Tempoh reman ke atas pemandu kereta Proton Preve yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan tiga nyawa pada 21 Ogos lalu disambung selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, permohonan reman itu dibuat selepas tempoh reman selama tujuh hari sebelum ini tamat pada Isnin.

"Tempoh lanjutan reman itu akan bermula pada Selasa sehingga 6 September ini untuk melengkapkan siasatan.

"Siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 38 tahun itu mempunyai 37 rekod lampau dalam kesalahan narkotik dan jenayah," katanya pada Isnin.

Sinar Harian melaporkan suspek melarikan diri dalam kemalangan yang mengorbankan nyawa dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal di KM4 Jalan Kampung Acheh-Sitiawan pada 21 Ogos lalu.

Bagaimanapun, lelaki tersebut menyerah diri kepada polis dan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam kejadian pada jam 5.30 petang itu, mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd Nur Hisham Hassan, 29, Hasrandy Bahrum, 27, dan Mohd Suhail Zainal, 22.

Artikel Berkaitan:

Ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.