Tun Sakaran disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negeri

Jenazah Sakaran disemadikan di Makam Pahlawan yang terletak di pekarangan Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu pada Isnin.
Jenazah Sakaran disemadikan di Makam Pahlawan yang terletak di pekarangan Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai selamat dikebumikan pada jam 11.45 pagi Isnin.

Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan yang terletak dalam pekarangan Masjid Negeri Sabah.

Turut hadir dalam upacara pengebumian itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sakaran, 91, meninggalkan seorang balu, Toh Puan Siti Rukaiyah Abdullah dan 12 anak.

Jenazah tiba di pekarangan Makam Pahlawan pada jam 11.15 pagi dan upacara pengebumian selesai kira-kira 30 minit kemudian.

Tun Sakaran disahkan meninggal dunia selepas ahli keluarga menerima panggilan daripada pihak hospital pada jam 6 pagi Isnin.

Beliau sebelum ini menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Gleneagles selepas dijangkiti Covid-19.

Sakaran menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah kelapan dari tahun 1995 hingga 2002 dan Ketua Menteri Sabah pada Mac 1994 hingga Disember 1994.

Artikel Berkaitan:

Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Semporna pada tahun 1986 hingga 1995 serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang mewakili USNO dan kemudian UMNO sebelum bersara daripada politik apabila dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.