1,352 guru di Perak belum divaksin

Ahmad Saidi ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 pada Isnin. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
Ahmad Saidi ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 pada Isnin. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Seramai 36,238 guru daripada keseluruhan 37,590 guru sekolah rendah dan menengah di Perak telah menerima vaksin Covid-19.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 1,352 guru masih belum divaksin, belum mendaftar untuk divaksin dan masih menunggu panggilan untuk divaksin setakat pada Ahad.

"Bagi kumpulan guru Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Vokasional, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 pula, daripada 9,684 guru, seramai 9,426 orang guru telah pun divaksin manakala 258 orang guru masih belum divaksin, masih belum mendaftar untuk divaksin dan masih menunggu panggilan untuk divaksin," katanya ketika ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Isnin.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri berusaha dalam memastikan guru-guru terlibat akan menerima vaksin.

"Sekiranya perlu program-program seperti sesi kaunseling, webinar dan bengkel pengurusan dan kepentingan vaksin akan dianjurkan bagi mencapai tujuan ini," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Saidi berkata, kerajaan negeri menyambut baik cadangan Kementerian Pendidikan agar murid yang menduduki peperiksaan awam diberi keutamaan untuk menerima vaksin.

"Perkara ini dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

"Kerajaan negeri juga telah menghantar surat pemakluman berkaitan isu ini bersandarkan keperluan bagi memastikan pelajar-pelajar ini sentiasa dilindungi dan seluruh ahli keluarga serta masyarakat juga dilindungi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan negeri memahami keresahan ibu bapa dan penjaga pelajar pada sesi persekolahan yang akan dibuka pada 3 Oktober ini.

"Kerajaan negeri berpendirian sekiranya penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara menunjukkan adanya keperluan sekolah belum bersedia untuk dibuka.

"Adalah baik kiranya laporan penilaian risiko ini menjadi asas dan pembukaan sekolah ditunda sehingga kesemua sekolah bersedia sepenuhnya," katanya.

Katanya, kumpulan sokongan turut diberikan perhatian dan pemantauan bagi memastikan semua pihak yang mengelola urusan operasi persekolahan juga turut divaksin.