MAINS bantu selesai tunggakan rumah berjumlah RM97,764

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menyelesaikan sebanyak RM97,764 permohonan bantuan tunggakan sewa rumah dan tunggakan bayaran ansuran rumah dalam tempoh Jun hingga Julai tahun ini.

Setiausaha MAINS, Ahmad Husaini Datuk Mustafa berkata, ia melibatkan seramai 57 penerima bantuan dengan daerah Seremban merekodkan penerima paling tinggi iaitu 32 orang.

"Ia diikuti Port Dickson (17), Tampin (4), Kuala Pilah (2) manakala Rembau dan Jempol masing-masing seorang penerima.

"Bagi daerah Seremban, MAINS telah menyelesaikan tunggakan sebanyak RM64,660, Port Dickson (RM21,170), Tampin (RM5,450), Kuala Pilah (RM3,384), Rembau (RM1,000) dan Jempol (RM2,100)," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Ahmad Husaini, pihaknya menjangkakan permohonan ini akan meningkat berikutan keadaan ekonomi yang masih belum stabil disebabkan pandemik Covid-19.

Ujarnya, kebanyakan permohonan diterima daripada mereka yang hilang pekerjaan atau pendapatan yang dikurangkan oleh majikan.

"Mereka ini terdiri daripada golongan B40 yang kini berdepan masalah untuk selesaikan tunggakan sewa rumah dan ansuran rumah serta bil utiliti.

"Setiap permohonan diterima akan disiasat terlebih dahulu dan akan dipertimbangkan kelulusan berdasarkan syarat-syarat ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, keutamaan akan diberi kepada permohonan bantuan keperluan asas bagi memastikan tiada yang terputus bekalan makanan.