Pas diserang untuk tutup isu terowong dasar laut

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas mendakwa serangan bertali arus terhadap parti itu adalah cubaan untuk menutup isu projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Susulan itu, Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan mendesak penjelasan sebenar mengenai projek ini setelah lebih setahun siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjalan.

"Projek ini turut melibatkan kepentingan rakyat disebabkan terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa kaedah pembayarannya membabitkan pertukaran tanah (land swap) dan menjejaskan ekosistem persekitaran.

"Rakyat tidak boleh dinafikan hak untuk mengetahui status atau hasil siasatan skandal projek terowong dasar laut yang sedang berlaku sekarang.

"Beberapa tahun lalu, saya telah membangkitkan isu ini dan saya telah disaman oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng pada masa itu. Kini apa yang telah saya bangkitkan sejak awal semakin menampakkan kebenarannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Pas turut menuntut Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP untuk menyediakan satu butiran lengkap pelan asal projek terowong dasar laut tersebut.

"Berapakah jumlah sebenar kos projek, adakah ia ditender secara terbuka dan sekiranya ia adalah tender terbuka, sila dedahkan perincian tender tersebut. Apa sebenarnya terma-terma yang dipersetujui antara pemaju dan Guan Eng, termasuk perjanjian pertukaran lot-lot tanah di lokasi strategik Pulau Pinang.

"Kemukakan latar belakang pemaju dan semua rakan kongsi yang terlibat. Adakah mereka pihak yang berpengalaman dan berkemampuan untuk melaksanakan projek dengan skala ini ?," soalnya.

Artikel Berkaitan:

Malah, katanya, kajian keboleh laksanaan projek tersebut yang telah menelan belanja sebanyak RM305 juta masih belum dimuktamadkan sehingga Januari lalu.