Dua lelaki ditahan bersama dadah bernilai RM108,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Dua lelaki warga tempatan disyaki mengedar dadah ditahan bersama dadah bernilai RM108,000 dalam serbuan di Jalan Melati 1, Bandar Amanjaya, Sungai Petani pada Rabu minggu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, lelaki berusia 22 dan 28 tahun itu ditahan di dalam sebuah kereta yang berhenti di tepi jalan kawasan parkir pusat servis kenderaan.

Mohd Taufik berkata, sepasukan polis JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan pemerhatian selama 20 minit sebelum melakukan serbuan lebih kurang jam 12 tengah hari ke atas sebuah kenderaan jenis Proton Saga Iswara.

"Hasil pemeriksaan dalam beg yang dirampas telah menemui empat bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan berwarna putih disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 1.8 kilogram (kg) dan dua bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan berwarna kuning disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 900 gram (g).

Dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM108,000 yang dirampas dalam serbuan di Jalan Melati 1, Bandar Amanjaya, Sungai Petani pada Rabu minggu lepas.
Dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM108,000 yang dirampas dalam serbuan di Jalan Melati 1, Bandar Amanjaya, Sungai Petani pada Rabu minggu lepas.

"Selain itu, kita juga menemui dua bungkusan plastik berwarna hijau bertulis guanyinwang berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 2.0725 kg," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, anggaran berat keseluruhan dadah jenis heroin yang dirampas adalah 2.7kg dan dadah jenis syabu 2.0725kg dengan nilai keseluruhan rampasan dadah sebanyak RM108,000.

"Ekoran tangkapan dan rampasan dadah, harta suspek iaitu seuntas rantai dan loket berwarna kekuningan bernilai RM1,500 dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 bernilai RM5,800 disita dengan nilai keseluruhan sitaan harta RM7,300," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, hasil ujian saringan air kencing kedua-dua suspek didapati negatif dan mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula 26 Ogos hingga Rabu depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.

Tambah beliau, kejayaan ini adalah hasil usaha JSJN Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah berbahaya berjaya ditumpaskan.

Menurut Mohd Taufik, pihaknya juga sentiasa memerlukan kerjasama serta penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka kepada polis.