Selangor ubah fokus, fungsi aplikasi SeLangkah

Dr Siti Mariah - Foto Bernama
Dr Siti Mariah - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor telah mengubah fokus dan fungsi aplikasi SeLangkah dengan lebih memberikan penekanan kepada jenis penjejakan kontak rapat yang menyumbang kepada kes positif Covid-19 di negeri ini.

Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, penambahbaikan terhadap aplikasi berkenaan dilakukan menerusi beberapa kaedah antaranya seperti membina pangkalan data penjejakan kontak rapat tersendiri hasil maklumat pelaporan individu daripada program saringan kerajaan negeri.

Selain itu, Siti Mariah berkata, pangkalan data hasil maklumat temu duga pesakit di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) turut dibangunkan kerajaan negeri menerusi penambahbaikan tersebut.

"Sehingga 8 Ogos, seramai 164,354 individu telah dikesan kontak rapat melalui kaedah di atas.

"Semua maklumat yang diperoleh dikongsi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selangor Task Force Covid-19 (STFC) dan petugas serta sukarelawan daripada Greater Klang Valley Task Force," katanya sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Isnin.

Siti Mariah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lau Weng San (DAP-Banting) mengenai sama ada kerajaan negeri masih menjalankan pengesanan melalui aplikasi SeLangkah dan bagaimana kerja-kerja pengesanan itu boleh dilakukan.

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, antara penambahbaikan lain yang dipertingkatkan dalam aplikasi berkenaan adalah membabitkan Peta Risiko Wabak dan Pendaftaran serta Keputusan Saringan Komuniti Covid-19.

"Kemudahan peta risiko wabak secara anonymous ini adalah bagi memberi maklumat awal tentang lingkungan kawasan manakah yang mempunyai kebarangkalian transmisi jangkitan Covid-19 yang tinggi bagi pengetahuan dan tindakan para pengguna.

Artikel Berkaitan:

"Peta SeLangkah yang lebih intuitif membantu rakyat mengawal selia risiko kendiri," katanya.