Hina Nabi: Biar fakta bercakap, bukan saya - Mujahid

Mujahid (tengah) menyerahkan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah basikal kepada pengunjung terpilih sewaktu merasmikan program Karnival Rahmah dan Ramah di Sungai Betul Bawah, Parit Buntar hari ini.
A
A

PARIT BUNTAR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan kerajaan sedia ada lebih gemar menangani isu hina Nabi Muhammad SAW menerusi tindakan berbanding kata-kata politik seperti diamalkan kerajaan terdahulu.

Menurutnya, PH berbeza dari segi tindakan apabila dua individu dikenal pasti menghina Rasulullah sebelum ini diambil tindakan mahkamah tidak sampai sebulan berikutan mempunyai kuasa.

"Dalam isu tindakan kerajaan terhadap individu menghina Nabi Muhammad SAW, biarlah fakta bercakap dan bukan saya yang menjawab. Kerajaan sedia tiada berbeza pandangan dengan pihak lain dalam isu membantah tindakan individu menghina nabi.

"Berbeza dengan kerajaan dahulu. Setahu saya, dalam kerajaan terdahulu ada individu bertindak menghina nabi dan agama Islam pada tahun 2014 namun tindakan mahkamah hanya diambil pada tahun 2016," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kecaman dan dakwaan kerajaan PH mengambil ringan dan bersikap lunak terhadap isu berkenaan pada sidang media majlis penutup Karnival Rahmah dan Ramah di perkarangan Surau Sungai Betul Bawah di sini, hari ini.

Menjawab tohmahan segelintir pihak mendakwa kerajaan PH bertindak melepaskan salah seorang individu menghina nabi dengan jaminan, Mujahid menegaskan tertuduh diberi hak untuk pembelaan dan jaminan terhadap kes didakwa mengikut 'rule of law' negara ini.

Menurutnya, negara ini bukan negara Taliban di mana hukuman boleh dijatuhkan ke atas tertuduh tanpa diberi hak pembelaan dan jaminan.

"Sehubungan itu, saya menegaskan berita tular mendakwa Peguam Negara mempengaruhi pihak pendakwaraya membebaskan individu menghina nabi berkenaan dengan jaminan serta mengeluarkan satu kenyataan kontroversi baru-baru ini adalah tidak benar dan berniat jahat.

"Saya ingin menyatakan ada pihak mengambil kesempatan dalam isu ini dan sekiranya tujuan mereka hanya semata-mata menuduh kerajaan PH tidak ambil berat terhadap kedaulatan agama Islam, saya berasa sangat kesal," katanya.

Dalam pada itu, Mujahid mendedahkan inisiatif kerajaan membuat pemerkasaan terhadap perkara boleh menimbulkan kebencian terhadap agama akan dilaksanakan melalui pindaan rang undang-undang di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

"Inisiatif pindaan rang undang-undang itu dijangka akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen dalam masa terdekat.

"Draf pindaan itu akan turut mengambil kira konsultasi orang awam selain anggota kabinet dan persidangan parlimen," katanya.

Pada 27 Februari lalu, seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah RA dengan memuat naik karikatur berunsurkan penghinaan dalam laman sosialnya.

Lelaki berusia 68 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia