Hiasi rumah dengan 700 Jalur Gemilang, bendera Sabah

Awang Akub menghias pintu gerbang rumahnya dengan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di Kampung Lok Kawi Baru, baru-baru ini. - Foto Bernama
Awang Akub menghias pintu gerbang rumahnya dengan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di Kampung Lok Kawi Baru, baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTATAN - Sudah menjadi kelaziman buat Awang Akub Mohd Amir setiap kali menjelang Ogos untuk beliau mengekspresikan semangat patriotik dan rasa cintanya terhadap tanah air dengan mengibarkan ratusan Jalur Gemilang menghiasi halaman rumahnya di Kampung Lok Kawi Baru dekat sini.

Pesara kerajaan itu mengambil inisiatif tersebut bagi menggelorakan semangat patriotik sepanjang Bulan Kebangsaan, selain tanda menghargai nikmat kemerdekaan dikecapi negara selama ini.

Tahun ini, Awang Akub, 61, meneruskan tradisi menghiasi halaman rumahnya dengan kira-kira 700 helai Jalur Gemilang dan bendera Sabah pelbagai saiz yang dipasang secara kreatif selain mengibarkan bendera negeri-negeri lain serta menghasilkan beberapa dekorasi menarik sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

“Saya membelanjakan hampir RM700 untuk membeli Jalur Gemilang, bendera Sabah dan bendera negeri-negeri lain. Saya mengambil inisiatif ini secara sukarela dan tanpa paksaan untuk kepuasan sendiri bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

“Sudah menjadi tradisi, saya memasang Jalur Gemilang di sekitar rumah pada Ogos setiap tahun, ini penting kerana sebagai rakyat Malaysia kita perlu bangga dan gembira (hasil kemerdekaan) kita dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya kepada Bernama.

Awang Akub berkata, beliau turut melibatkan anak-anaknya untuk memberi idea kreatif mendekorasi halaman rumah kerana semangat patriotik dan nasionalisme amat penting diterapkan dalam jiwa generasi muda.

“Saya libatkan anak-anak memasang bendera bagi memeriahkan sambutan kerana ini penting supaya generasi muda ini dapat benar-benar menghayati erti nikmat kemerdekaan. Kita perlu menerapkan elemen semangat patriotik dan rasa cinta kepada negara dalam jiwa mereka,” katanya.

Seorang lagi pesara kerajaan, Jainudin Sudin, 61, berkata, beliau menghiasi halaman rumahnya dengan Jalur Gemilang bukan sahaja untuk memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan di kampung itu tetapi juga sebagai menzahirkan perasaan gembira serta mensyukuri nikmat kemerdekaan.

Artikel Berkaitan:

Jainudin berkata, lebih 100 bendera Jalur Gemilang dan bendera Sabah pelbagai saiz dipasang menghiasi kediamannya yang turut diindahkan dengan kibaran bendera dari negeri-negeri lain.

“Saya bangga menjadi anak Malaysia. Semangat saya berkobar-kobar untuk menyambut Hari Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Ini juga salah satu cara untuk kita sebagai anak jati Malaysia menaikkan semangat patriotik dan menghargai kemerdekaan dimiliki negara kita,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lok Kawi Baru, Mohamad Fendi Moksin berkata, kira-kira 1,000 helai Jalur Gemilang dan bendera Sabah diagihkan kepada penduduk untuk dikibarkan bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Beliau berkata, ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif pertandingan kibar Jalur Gemilang dan rumah patriotik anjuran JPKK kampung itu, dan setakat ini seramai 20 ketua isi rumah menyertai program tersebut.

“Pertandingan ini bermula pada 16 Ogos hingga 16 September ini. Sambutan sangat menggalakkan kerana penduduk kampung begitu bersemangat untuk memeriahkan Hari Kebangsaan tahun ini meskipun perlu mengikut prosedur operasi standard memandangkan kita masih berdepan dengan wabak Covid-19,” katanya.

Mohamad Fendi berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Penerangan Bahagian Putatan dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Putatan yang membekalkan Jalur Gemilang serta bendera Sabah untuk diagihkan kepada penduduk kampung.

JPKK Kampung Lok Kawi Baru akan menjadikan program itu sebagai acara tahunan sambutan Hari Kebangsaan bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk, katanya. - Bernama