Kaki putus terkena tembakan, Hamzah bangga berbakti kepada negara

Hamzah menunjukkan kakinya yang terkena tembakan ketika menyertai operasi yang dipanggil Ops Sedar Gubir 4.
Hamzah menunjukkan kakinya yang terkena tembakan ketika menyertai operasi yang dipanggil Ops Sedar Gubir 4.
A
A
A

Keamanan dan kemakmuran negara yang dinikmati rakyat ketika ini adalah hasil jasa dan bakti para perajurit terutama veteran tentera yang banyak berkorban demi negara tercinta.

Mereka ini terdiri daripada kalangan Askar Melayu, British Army, Malaysian Renjer dan Askar Gurka.

Pengorbanan mereka semasa zaman keganasan penjajah satu ketika dahulu merupakan satu perjuangan yang perlu dikenang oleh semua rakyat di negara ini terutama generasi muda.

Program Jejak Wira Sinar Harian dengan kerjasama LBS Bina Group Berhad (LBS) kali ini mengunjungi seorang lagi pejuang kemerdekaan sambal menyalurkan bantuan sempena sambutan Hari Kemerdekaan bertemakan ‘Malaysia Prihatin’.

Pesara tentera, Hamzah Hassan, 65, menerima sumbangan sebanyak RM2,000 daripada pihak LBS dan Sinar Harian sebagai tanda menghargai jasa sekali gus meringankan beban beliau yang kini berdepan dengan masalah jantung, kemurungan dan kaki sebelah kanan bergantung dengan kaki palsu.

Hamzah (kanan) menerima penyerahan sumbangan RM2,000 daripada Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang yang mewakili pasukan Jejak Wira Sinar Harian dan LBS.
Hamzah (kanan) menerima penyerahan sumbangan RM2,000 daripada Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang yang mewakili pasukan Jejak Wira Sinar Harian dan LBS.

Bagi Hamzah, pengalaman 22 tahun berkhidmat dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

“Saya mula memasuki pusat latihan tentera pada 10 April 1974 dan tamat sesi latihan pada 11 Oktober tahun yang sama. Selepas itu, saya ditempatkan di battalion kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja, berpangkalan di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Waktu itu unit saya masih lagi di Kem Semanggang, Sarawak cuma saya menumpang di Sungai Besi dahulu sementara menunggu anggota lain pulang.

“Dua tahun kemudian, unit saya berpindah ke Kem Kuala Batas, Alor Setar, Kedah. Di sana saya dinaikkan pangkat Lans Koperal dan beberapa bulan selepas itu dinaikkan lagi pangkat Koperal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi kunjungan Sinar Harian bersama syarikat LBS Bina Group Berhad di kediamannya di Gombak Setia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Navin Kumar turut memberi nasihat berkaitan rawatan dan penjagaan kesihatan kepada Hamzah
Dr Navin Kumar turut memberi nasihat berkaitan rawatan dan penjagaan kesihatan kepada Hamzah

Bagaimanapun, beliau akhirnya kecundang di medan peperangan apabila mengalami kecederaan pada bahagian kaki akibat terkena tembakan anggota komunis ketika menyertai operasi yang dipanggil Ops Sedar Gubir 4.

Waktu itu mereka diarahkan untuk menggantikan pasukan polis hutan yang sudah meninggalkan tapak seminggu lebih awal.

“Ketika inilah kumpulan Parti Komunis Malaya atau penganut Komunis memasang apa jua jerangkap di kawasan berkenaan.

“Jika nak buat tinjauan keselamatan, kita dilarang menghampiri pokok besar, pokok tumbang, busut atau kayu-kayu sebesar kaki. Namun, saya tanpa sengaja melanggar pantang larang tersebut.

“Belum sempat nak angkat parang untuk tebang pokok, saya kena tembak. Kaki kanan saya putus, kaki kiri cedera parah dan badan pula ada kesan koyakan,” ceritanya.

Namun, beliau sama sekali tidak kesal terlibat sebagai anggota tentera malah ia menjadi sejarah yang dikenang hingga sekarang.

Selepas menamatkan perkhidmatan, beliau turut mengalami komplikasi lain seperti lemah jantung sehingga terpaksa dimasukkan bateri.

“Saya juga pernah menjalankan pembedahan prostat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM). Sehingga sekarang, saya perlu mengikuti temu janji sebulan sekali bagi setiap penyakit saya,” ujar Hamzah.

Pemeriksaan kesihatan

Pasukan perubatan HPUPM membuat pemeriksaan kesihatan dan kaki Hamzah.
Pasukan perubatan HPUPM membuat pemeriksaan kesihatan dan kaki Hamzah.

Pihak Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) yang turut menyertai kunjungan pasukan Jejak Wira, melakukan pemeriksaan kesihatan kepada Hamzah.

Pensyarah Perubatan yang juga Pakar Perubatan Keluarga HPUPM, Dr D. Navin Kumar berkata, kesihatan Hamzah kini berada pada tahap yang baik.

“Bagaimanapun, saya sarankan supaya beliau tidak lupa mengikuti temujanji dengan doktor bagi menerima rawatan susulan. Kami di HPUPM juga akan sedaya upaya memberikan rawatan yang terbaik kepada Hamzah.

“Saya juga nasihatkan beliau supaya mengawal pemakanan, malah melakukan aktiviti rekreasi. Aktiviti ini penting bagi mengurangkan tahap tekanan atau kemurungan yang dialaminya, lebih-lebih lagi dengan keadaan negara yang sedang dilanda pandemik Covid-19,” katanya.

Hock San zahirkan ucapan penghargaan kepada wira negara.
Hock San zahirkan ucapan penghargaan kepada wira negara.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San menzahirkan penghargaan kepada semua wira negara termasuk Hamzah.

Menurutnya, generasi kini rakyat Malaysia patut bersyukur dengan keamanan yang dinikmati dan memahami betapa pentingnya untuk kita menghargai wira-wira negara yang telah berkorban dan berjuang demi kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Sebagai syarikat pemaju perbandaran terkemuka di negara, kami bukan sahaja menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara dengan membina lebih banyak rumah-rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat, malahan LBS turut prihatin dengan nasib bekas-bekas wira negara, dan berharap agar Program Jejak Wira ini dapat diteruskan di masa hadapan.

“Saya mewakili seluruh warga LBS Bina Group ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Hamzah atas segala jasa beliau kepada negara. Kami berdoa agar beliau terus dikurniakan kesihatan yang baik,” ujarnya.